Perubahan model perniagaan pacu keuntungan Northern Solar yang diunjur naik 74% pada FY27 – JF Apex Securities

Business & Finance
24 Sep 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perubahan model perniagaan pacu keuntungan Northern Solar yang diunjur naik 74% pada FY27 – JF Apex Securities Image from: Perubahan model perniagaan pacu keuntungan Northern Solar yang diunjur naik 74% pada FY27 – JF Apex Securities liza24/09/2026 - 11:20 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept – Northern Solar Holdings Berhad dijangka memasuki fasa pertumbuhan baharu apabila syarikat beralih daripada model perniagaan berasaskan kontrak pemasangan solar kepada pemilikan dan pembangunan aset tenaga solar, menurut JF Apex Research.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan keuntungan bersih teras Northern Solar meningkat 74% kepada RM26.6 juta pada tahun kewangan 2027 (FY27), daripada anggaran RM15.3 juta pada FY26, sebelum meningkat lagi 42% kepada RM37.9 juta pada FY28.

 

Pertumbuhan itu dijangka disokong oleh peningkatan hasil yang ketara, dengan pendapatan Northern Solar diunjurkan meningkat daripada RM113 juta pada FY26 kepada RM264.2 juta pada FY27 dan RM393.8 juta pada FY28.

 

Menurut JF Apex, peralihan model perniagaan tersebut membolehkan Northern Solar bukan sahaja menjana pendapatan daripada kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), malah membina sumber pendapatan berulang daripada aset solar yang dimilikinya.

 

LSS5 beri keterlihatan pendapatan

Antara pemacu pertumbuhan terdekat ialah projek Tenaga Solar Berskala Besar 5 (LSS5) bernilai RM119.39 juta yang telah diperoleh Northern Solar.

 

JF Apex menjangkakan sekitar 60% daripada nilai projek itu diiktiraf pada FY27 manakala baki 40% lagi pada FY28, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan kepada syarikat bagi tempoh tersebut.

 

“Daripada jumlah berkenaan, RM71.86 juta melibatkan kerja talian pengumpul dan sambungan ke grid elektrik yang turut memberi Northern Solar rekod pengalaman dalam projek solar berskala utiliti.

 

“Pada masa sama, Northern Solar terus meningkatkan pemilikan aset tenaga solar dengan aset di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang telah beroperasi bernilai RM10.18 juta.

 

“Aset yang telah beroperasi itu menjana hasil penjualan elektrik sebanyak RM2.31 juta pada FY26, manakala aset bernilai RM9.57 juta lagi sedang dalam pembinaan,” katanya dalam nota kajian.

 

CRESS RM800 juta buka peluang lebih besar

JF Apex berkata peralihan kepada pemilikan aset boleh menjadi lebih ketara sekiranya projek solar bersama sistem penyimpanan tenaga di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bernilai lebih RM800 juta direalisasikan.

 

Projek berkapasiti 170 megawatt (MW) itu kini sedang dimuktamadkan oleh pihak pengurusan, dengan Northern Solar dijangka mengambil bahagian sebagai pemilik aset.

 

Bagaimanapun, JF Apex tidak memasukkan projek berkenaan dalam unjuran pendapatan dan penilaian semasanya yang bermakna potensi sumbangan projek tersebut belum dicerminkan dalam anggaran kewangan firma penyelidikan itu.

 

Selain projek yang telah diperoleh, Northern Solar memasuki FY27 dengan nilai kontrak belum dibilkan sebanyak RM189.3 juta, manakala nilai projek dalam peringkat tender pula mencapai RM2.23 bilion.

 

JF Apex berkata saluran projek itu, bersama peluang daripada Solar Atap, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta LSS5+ dan LSS6, menyediakan ruang untuk Northern Solar mendapatkan projek baharu bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.

 

Pada harga RM1.02 sesaham, Northern Solar kini didagangkan pada nisbah harga kepada keuntungan (P/E) FY28 sebanyak 10.7 kali, berbanding purata 22.8 kali bagi syarikat setara yang dinilai JF Apex.

 

JF Apex menetapkan nilai saksama Northern Solar pada RM1.44 sesaham berdasarkan 15 kali P/E FY28 dan keuntungan sesaham (EPS) teras FY28 sebanyak 9.6 sen.

 

Firma itu bagaimanapun mengenal pasti beberapa risiko termasuk kebergantungan kepada dasar kerajaan, pelaksanaan projek LSS, pendedahan kepada pihak pelanggan, tekanan terhadap margin, tumpuan pelanggan, gangguan bekalan serta keperluan pembiayaan bagi sasaran aset bernilai RM1 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved