PUTRAJAYA – MyDigital ID terus mempergiat usaha mendekati rakyat dengan pendekatan lebih santai dan berjiwa rakyat apabila melancarkan kempen promosi bergerak menggunakan kenderaan e-hailing, sekali gus melibatkan pemain ekonomi gig sebagai penghubung agenda digital negara.

Pemandu E-Hailing Sebagai Duta Kecil MyDigital ID
Sebanyak 30 buah kenderaan e-hailing dihiasi pelekat kereta dengan slogan “Satu Kunci Untuk Semua”, naratif utama MyDigital ID. Kempen pengiklanan bergerak ini telah mula beroperasi di sekitar Lembah Klang sejak Disember lalu, menyasarkan masyarakat bandar yang aktif dan sentiasa bergerak.
Kenderaan terlibat turut dilengkapi in-car hanger MyDigital ID yang memaparkan kod QR, membolehkan penumpang mendaftar MyDigital ID secara terus semasa perjalanan. Pendekatan ini menjadikan proses pendaftaran lebih mudah, pantas dan selari dengan gaya hidup moden.
Lebih menarik, pemandu e-hailing yang terlibat turut berperanan sebagai duta kecil MyDigital ID, membantu memperkenalkan identiti digital nasional ini secara tidak formal kepada penumpang melalui interaksi harian.
Majlis pelepasan kenderaan promosi MyDigital ID hari ini menyaksikan 15 buah kenderaan dilepaskan secara simbolik, menjadikan keseluruhan 30 buah kenderaan terlibat dalam inisiatif ini. Kerjasama bersama sektor ekonomi gig ini dilihat sebagai projek rintis sebelum diperluaskan ke skala lebih besar sekiranya menunjukkan impak positif.

Kempen “Satu ID, Sejuta Peluang”, Lonjakan Pendaftaran Daripada 1.4 Juta Kepada 8 Juta Pengguna
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Rita Irina Abd Wahab, penggunaan kenderaan e-hailing membolehkan MyDigital ID dibawa terus ke masyarakat dan tidak lagi terhad kepada program berbentuk formal atau acara kerajaan semata-mata.
Beliau berkata, pendekatan berteraskan denyut nadi rakyat ini membantu memperkenalkan MyDigital ID dengan cara yang lebih mudah difahami, santai dan dekat di hati rakyat, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh keterangkuman digital serta membina kepercayaan terhadap sistem digital negara.

Tambah beliau, kejayaan ini merupakan hasil pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu. Untuk rekod, pada penghujung 2024, pendaftaran MyDigital ID berada sekitar 1.4 juta pengguna, namun kini telah melonjak kepada lebih 8 juta pengguna berdaftar.
Peningkatan ini turut disokong oleh pelbagai kempen kesedaran, termasuk Cabutan Bertuah “Satu ID, Sejuta Peluang” yang dilaksanakan bersempena Program Rancakkan MADANI. Kempen ini berjaya menarik penyertaan kira-kira 15,000 rakyat Malaysia, selain meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.
Tahniah diucapkan kepada Nurul Basyirah sebagai pemenang Hadiah Mega Kempen Satu ID Sejuta Peluang berupa sebuah Perodua Bezza 1.3X. Cabutan bertuah ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan pendaftaran MyDigital ID

MyDigital ID Kini Berintegrasi Dengan 80 Aplikasi & Portal
Sejak diperkenalkan kepada orang awam pada November 2023, MyDigital ID kini telah berintegrasi dengan 80 aplikasi dan portal merentas sektor kerajaan dan swasta, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai identiti digital nasional negara.
Ringkasnya, MyDigital ID kini semakin dekat dengan rakyat dan direka untuk memudahkan urusan harian secara selamat. Jadi, kalau masih belum daftar, bolehlah ambil peluang untuk daftar MyDigital ID dan mula gunakan satu identiti digital untuk pelbagai perkhidmatan — lebih mudah, cepat dan SELAMAT!

