Kempen hartanah PKNS Hot Deals catat jualan lebih RM10 juta Residensi Aurora
diyana
21/12/2023 - 14:32
KUALA LUMPUR 21 Dis - Lapan unit Residensi Aurora bernilai lebih RM10 juta berjaya mendapat tempahan pembeli sempena kempen jualan hartanah ‘PKNS Hot Deals’ yang berlangsung pada 16 Disember lalu di Selangor Cyber Valley (SCV).
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam satu kenyataan media hari ini berkata semua bakal pembeli hartanah itu bakal menikmati pelbagai pakej menarik.
Antaranya adalah yuran guaman perjanjian jual beli (SPA), duti setem memorandum pemindahan (MOT) dan pemasangan barangan ‘smart home’ bernilai RM15,000 secara percuma.

Menurut PKNS, pemasangan barangan ‘smart home’ membabitkan dua unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) dengan satu cakera keras, satu unit pad kekunci keselamatan, siren, sensor pintu utama dan alat pengesan asap.
"Residensi Aurora yang terletak secara strategik di kawasan kejiranan matang yang pesat membangun di perbandaran SCV itu, dibangunkan oleh PKNS bagi memenuhi permintaan perumahan yang semakin meningkat di kawasan tersebut," kata Pengurus Komunikasi Korporat, Mohd Faizal Dolah.
Tambahnya, empat jenis rumah mengikut saiz perumahan berharga antara RM950,000 hingga RM1.5 juta, telah siap dibina untuk diduduki dan merupakan pilihan terbaik.
Orang ramai yang tidak berkesempatan menghadiri program tersebut masih boleh memiliki unit terhad Residensi Aurora dengan menghubungi Perunding Hartanah PKNS di talian 03-5522 0187 atau layari www.pkns.gov.my serta Facebook PKNS HOMES. - DagangNews.com



