Kempen Pink October jangan hanya bulan 10

Health & Fitness
23 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kempen Pink October jangan hanya bulan 10

OKTOBER menjadi bulan yang cukup bermakna buat golongan wanita kerana adanya sambutan Hari Kanser Payudara Sedunia untuk meningkatkan kesedaran tentang pengesanan awal dan pencegahan kanser tersebut.

Bulan ini, warna merah jambu kembali memenuhi ruang media sosial, hospital, pusat beli-belah dan pelbagai program komuniti.

Reben merah jambu dipakai sebagai tanda sokongan, poster kesedaran dikongsi dan mesej mengenai barah payudara kembali mendapat perhatian.

Usaha ini penting agar wanita cakna tentang kesihatan mereka. Namun, terdapat satu persoalan yang wajar difikirkan bersama, adakah kesedaran akan berakhir selepas Oktober?

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kejururawatan, Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr. Hamidah Othman, kesedaran tentang barah payudara bukan sekadar mengetahui penyakit itu wujud.

Katanya, kesedaran sebenar bermula apabila seseorang wanita itu mengenali tubuhnya, peka terhadap perubahan dan tahu bila perlu mendapatkan pemeriksaan.

“Masih ada wanita yang beranggapan selagi tidak sakit, tidak perlu risau. Ada juga yang pilih untuk tunggu sehingga terjumpa sesuatu yang berbeza pada payudara,” katanya.

Jelasnya, Malaysia mempunyai banyak kempen kesedaran kesihatan, namun keberkesanannya tidak harus diukur melalui jumlah poster, ceramah atau peserta.

“Soalan yang lebih penting adalah selepas seseorang wanita mendapat maklumat, adakah dia tahu apa yang perlu dilakukan? Ke mana perlu pergi jika terdapat perubahan? Adakah dia cukup yakin untuk mendapatkan pemeriksaan?

“Kita perlu bergerak daripada sekadar kesedaran kepada pemerkasaan. Ini kerana, pemerkasaan berlaku apabila wanita bukan sahaja mendapat maklumat, tetapi menggunakan pengetahuan itu untuk membuat keputusan mengenai kesihatan diri.

“Pendidikan kesihatan yang baik tidak membuatkan masyarakat semakin takut. Sebaliknya, ia membantu mereka memahami risiko secara rasional dan mengetahui tindakan yang boleh diambil,” terangnya.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu dibawa lebih dekat kepada komuniti tidak terhad di hospital atau penganjuran kempen semata-mata.

“Ia perlu sampai ke tempat kerja, sekolah, kampung, kawasan luar bandar dan ruang digital yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat hari ini.

“Selain itu, bahasa yang digunakan juga penting kerana maklumat kesihatan yang terlalu teknikal mungkin tepat, tetapi tidak semestinya difahami masyarakat.

“Saya percaya kesan pendidikan kesihatan tidak berhenti pada seorang individu.

“Apabila seorang wanita memahami kepentingan menjaga kesihatan payudara, pengetahuan itu boleh sampai kepada ibu, kakak, adik, anak perempuan, sahabat dan juga jiran,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, komuniti yang celik kesihatan tidak terbentuk dalam masa sehari. Ia bermula daripada perbualan kecil di rumah, tempat kerja dan masyarakat.

Ia juga memerlukan kerjasama profesional kesihatan, institusi pendidikan, media, pertubuhan masyarakat dan keluarga.

The post Kempen Pink October jangan hanya bulan 10 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved