GEORGE TOWN – Seramai 38,000 wanita dijangka mendapat manfaat daripada Program Subsidi Ujian Mamogram menerusi peruntukan RM9 juta yang disediakan kerajaan dalam Belanjawan 2027 bagi memperluas akses saringan awal kanser payudara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu meningkat berbanding RM8 juta pada tahun ini sekali gus membolehkan lebih ramai wanita mendapatkan pemeriksaan bagi mengesan penyakit berkenaan.
Menurutnya, program yang dilaksanakan sejak 2007 itu merupakan inisiatif berterusan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
“Program ini berterusan dan wanita yang memenuhi syarat kelayakan boleh mengambil peluang untuk menjalani pemeriksaan di Klinik Nur Sejahtera atau mana-mana daripada 67 pusat mamogram panel LPPKN yang bertauliah di seluruh negara.
“Pilihlah pusat pemeriksaan yang paling dekat dan sesuai untuk memudahkan urusan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC) di sini pada Rabu.
Nancy menambah, program itu memberi keutamaan kepada wanita berusia antara 40 hingga 70 tahun khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dengan pendapatan isi rumah RM10,000 ke bawah yang layak menjalani ujian mamogram secara percuma.
"Bagi wanita dengan pendapatan isi rumah melebihi RM10,000, subsidi sebanyak RM50 turut dipertimbangkan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan program," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui peruntukan sedia ada masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan permintaan namun kerajaan akan berusaha memohon tambahan dana sekiranya diperlukan.
“Memang tidak cukup sebenarnya, tetapi itulah peruntukan yang ada ketika ini. Sekiranya perlu, kita akan cuba memohon supaya peruntukan ditambah,” katanya.
Mengulas penurunan kadar wanita menjalani saringan mamogram, Nancy berkata, keadaan itu mungkin berpunca daripada tahap kesedaran yang masih rendah selain perasaan takut untuk menjalani pemeriksaan.
Justeru, beliau berkata, program kesedaran perlu terus dipergiat bagi memberi maklumat tepat kepada wanita mengenai kepentingan pengesanan awal, sekali gus menggalakkan mereka mendapatkan pemeriksaan tanpa menangguhkannya.
“Ramai yang mungkin tidak tahu manakala ada juga yang takut untuk menjalani pemeriksaan. Sebab itu program seperti ini penting untuk memberi galakan dan meningkatkan kesedaran.
“Kalau saya sendiri pun berasa takut tetapi sebagai wanita, kita perlu memberanikan diri. Berkawanlah dengan mereka yang sudah melalui pengalaman pemeriksaan supaya kita lebih yakin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan wanita mendapatkan nasihat kesihatan mengenai kekerapan pemeriksaan yang bersesuaian mengikut umur dan keadaan masing-masing.
"Berdasarkan data Global Cancer Observatory (GLOBOCAN) 2022, sebanyak 8,371 kes baharu kanser payudara direkodkan dalam kalangan wanita di Malaysia, menjadikannya kanser paling lazim dalam kumpulan itu iaitu kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan kes kanser baharu.
"Dalam tempoh sama, sebanyak 3,526 kematian akibat kanser payudara turut dicatatkan.
"Lebih membimbangkan, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan hanya 12.8 peratus wanita berusia 40 tahun dan ke atas menjalani pemeriksaan mamogram dalam tempoh tiga tahun sebelumnya berbanding 21 peratus pada 2019," katanya lagi.
Jelas Nancy, penurunan itu menunjukkan keperluan untuk memperkukuh kesedaran serta memperluas akses kepada pemeriksaan memandangkan pengesanan awal merupakan antara faktor penting dalam meningkatkan peluang mendapatkan rawatan berkesan.
"Sehingga 30 September 2026, seramai 595,143 wanita di seluruh negara telah menjalani ujian mamogram dengan 1,334 kes kanser payudara disahkan.
"Di Pulau Pinang pula, seramai 54,549 wanita telah menjalani saringan dan 93 kes kanser payudara dikesan," tambahnya.
Dalam pada itu, Nancy berkata, dapatan kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2025 di bawah Domain Kesihatan menunjukkan Pulau Pinang mencatatkan skor 9.25 iaitu kedua tertinggi selepas Sarawak.
Menurutnya, usaha memperluas saringan awal perlu dilihat sebagai langkah penting dalam menangani cabaran kanser yang semakin membimbangkan selain mengambil kira kesan penyakit itu terhadap pesakit dan keluarga.
Tambah beliau, diagnosis kanser bukan sahaja boleh menyebabkan tekanan emosi serta mengganggu rutin harian malah turut memberi beban kewangan kepada pesakit dan keluarga termasuk kos rawatan, perjalanan serta kehilangan pendapatan.
"Ahli keluarga yang bertindak sebagai penjaga juga memerlukan sokongan sewajarnya sepanjang tempoh rawatan.
"Sehubungan itu, wanita disaran memanfaatkan kemudahan saringan yang disediakan kerajaan dan tidak membiarkan ketakutan menjadi penghalang untuk mendapatkan pemeriksaan awal," katanya lagi.






