Kempen PRU15 di Selangor jadi misi santuni mangsa banjir

LocalPolitics
10 Nov 2022 • 9:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khairy Jamaluddin melawat mangsa banjir kilat ketika meninjau keadaan beberapa rumah yang terjejas akibat banjir itu di kawasan Kampung Melayu Subang pada Khamis. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) beberapa calon di Selangor terpaksa ditangguhkan dan beralih kepada misi menyantuni mangsa banjir di Meru, Klang, Kapar dan Shah Alam.

Pusat Operasi Smart Selangor memaklumkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 9 malam ini termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa banjir kilat.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di dua PPS yang baharu dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di Meru dan Dewan Orang Ramai Kampung Budiman dekat sini masih dalam bancian.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Gombak dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali antara yang membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terlibat.

Pihak sekretariat bagi calon PH di Gombak itu memaklumkan, Amirudin membatalkan kempennya selepas solat Isyak dan akan ke kawasan terkesan serta menyelaras agensi kerajaan bagi menyegerakan bantuan kepada mangsa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, melalui perkongsiannya di laman Twitter turun ke Taman Setia Warisan dekat sini petang tadi bagi meninjau keadaan banjir yang berlaku akibat limpahan dari sungai berdekatan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yang juga calon PH di Parlimen Kota Raja turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

Pada Rabu, calon BN di Parlimen Kota Raja, D Kajendran melawat kediaman yang terjejas akibat ribut di Taman Desawan. - Bernama