Kempen Tahun Melawat Malaysia Dilanjut Hingga Akhir 2027

LocalTravel
6 Apr 2026 • 8:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kebangsaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) hari ini bersetuju untuk melanjutkan pelaksanaan VM2026 sehingga akhir tahun 2027.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan Malaysia mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memperkukuh strategi promosi, termasuk menonjolkan negara sebagai destinasi yang selamat, stabil dan berdaya saing, serta merebut peluang daripada perubahan corak perjalanan pelancong.

Menurut beliau, langkah itu juga mengambil kira perkembangan semasa, termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan ketara terhadap kestabilan serantau serta menjejaskan sektor pelancongan global.

“Unjuran menunjukkan ketibaan pelancong ke Timur Tengah boleh menurun antara 11 hingga 27 peratus, bersamaan kehilangan sehingga 38 juta pelawat serta kerugian mencecah AS$56 bilion.

“Keadaan ini turut memberi impak kepada negara-negara di Asia dan ASEAN yang bergantung kepada sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata konflik di rantau tersebut turut mengganggu laluan penerbangan antarabangsa serta meningkatkan kos perjalanan susulan kenaikan harga bahan api dan kos pengangkutan.

"Situasi ini juga menjejaskan keyakinan pelancong, yang dijangka memberi implikasi kepada aliran pelancongan global dalam tempoh terdekat.

“Kita akan bawa keputusan mesyuarat ini ke Kabinet untuk pertimbangan dan tindakan lanjut,” katanya lagi.

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dilancarkan secara rasmi pada 1 Januari lalu 

Ia disasarkan menarik 43 juta pelawat antarabangsa menerusi tema “Surreal Experiences” bagi memperkukuh ekonomi pelancongan negara. - Getaran, 6 April 2026