Tahun Melawat Malaysia 2026 dilanjut sehingga hujung tahun depan

LocalTravel
6 Apr 2026 • 4:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Zahid memperusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk MV2026, kali ke-dua, di sini pada Isnin.

PUTRAJAYA - Pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) akan dilanjutkan sehingga penghujung tahun 2027.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan Malaysia mengambil pendekatan proaktif dalam memperkukuh strategi promosi, menonjolkan negara sebagai destinasi yang selamat, stabil dan berdaya saing serta merebut peluang daripada perubahan corak perjalanan pelancong.

Menurutnya, langkah tersebut turut mengambil kira perkembangan semasa, termasuk konflik Asia Barat yang telah memberi kesan ketara terhadap kestabilan serantau serta menjejaskan sektor pelancongan global.

"Unjuran menunjukkan ketibaan pelancong ke Asia Barat boleh merosot antara 11 peratus hingga 27 peratus, bersamaan kehilangan sehingga 38 juta pelawat dan kerugian mencecah ASD 56 bilion.

"Ini memberi kesan kepada negara-negara tumpuan pelancongan di Asia dan ASEAN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas memperusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk MV2026, kali ke-dua, di sini pada Isnin.

Ujarnya, konflik di rantau itu juga telah mengganggu laluan penerbangan antarabangsa, meningkatkan kos perjalanan dengan kenaikan harga minyak dan kos pengangkutan.

"Keadaan ini juga telah menurunkan keyakinan pelancong yang dijangka memberi implikasi kepada aliran pelancongan dunia dalam jangka masa terdekat," kata Ahmad Zahid.

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) telah dilancarkan secara rasmi pada 1 Januari lalu dengan menyasarkan 43 juta pelawat antarabangsa dengan tema "Surreal Experiences" untuk memperkukuh ekonomi pelancongan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan keputusan mesyuarat itu akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan serta persetujuan selanjutnya.