SHAH ALAM - Kerajaan bersama Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan kempen 'Tiada Visa, Tiada Haji' pada Isnin, bertujuan memastikan hanya jemaah yang memiliki visa sah dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji sekali gus melindungi kebajikan golongan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak menunaikan ibadah haji ke Arab Saudi secara sendiri (DIY).
Hal ini kerana, menurutnya, jika timbul sebarang permasalahan seperti jatuh sakit dan sebagainya, kebajikan jemaah DIY tidak dapat dilindungi.
“Kejayaan usaha ini turut bergantung pada tindakan bersama, kerjasama dan kesedaran masyarakat untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Zulkifli turut menegaskan bahawa penggunaan visa selain visa haji seperti visa pelancongan, perniagaan, pekerjaan atau umrah bagi tujuan menunaikan haji adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Arab Saudi.
Tambah beliau, kebenaran memasuki kawasan Arafah, Muzdalifah dan Mina hanya diberikan kepada jemaah yang memiliki visa haji yang sah.
Jelasnya, sebarang pelanggaran peraturan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang termasuk denda, penjara dan sekatan daripada memasuki Tanah Suci pada masa hadapan.
Sebagai peringatan penting, Zulkifli turut berkongsi beberapa ketetapan utama oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Antaranya, kata beliau, kemasukan ke Makkah bagi tujuan haji tertakluk kepada pemilikan visa haji yang sah atau dokumen rasmi seperti iqamah atau permit kerja di kawasan Tanah Suci.
"Visa lawatan termasuk visa umrah, pelancongan dan perniagaan dilarang untuk menunaikan haji.
"Individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga 100,000 riyal, manakala warga asing berdepan risiko pengusiran.
"Mana-mana pihak yang didapati membantu atau mengangkut jemaah tanpa visa sah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan serta denda sehingga 50,000 riyal," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-129 memutuskan bahawa menunaikan haji tanpa visa sah adalah berdosa walaupun ibadah yang memenuhi rukun dan syarat tersebut sah dari segi hukum.
Justeru, beliau meminta orang ramai sentiasa berwaspada terhadap tawaran pakej haji yang meragukan serta memastikan segala urusan dibuat melalui saluran rasmi.
Dalam masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membentuk satu pasukan petugas khas yang melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta TH bagi menangani isu penipuan pakej haji dan jemaah terkandas.
Bagi musim haji 1447H/2026M, seramai 31,600 jemaah Malaysia menunaikan haji melalui 100 penerbangan sewa khas bermula 18 April hingga 20 Mei, manakala penerbangan pulang antara 4 Jun hingga 30 Jun depan.





