
RANTAU PANJANG – Cubaan satu sindiket untuk menyeludup sebanyak 1,050 kilogram (kg) durian jenis musang king dan monthong bernilai RM26,250 dari Thailand gagal selepas sebuah van yang membawa kesemua buah-buahan itu ditahan di pangkalan haram Yasin, Kampung Lubok Gong, di sini awal pagi tadi.
Van jenis Ford yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun itu dipintas oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 1 pagi di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA melihat pergerakan sebuah van dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram itu.
Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menjumpai sebanyak 300 kg durian musang king bernilai RM7,500 dan 750 kg monthong yang dianggarkan berharga RM18,750.
“Pemandu van itu bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan barangan yang dibawa. Siasatan awal mendapati, kesemua buah durian itu diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram Yasin, Kampung Lubok Gong di sini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, buah-buah itu akan dibawa dan dijual di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong, Kota Bharu dengan pemandu van itu memperoleh upah sebanyak RM100 bagi perkhidmatan pengangkutan. – KOSMO! ONLINE
The post Kempunan seludup lebih satu tan musang king, monthong dari Siam appeared first on Kosmo Digital.



