
Tenom: Penduduk Kampung Baru Jumpa kini boleh memanfaatkan kemudahan khusus untuk aktiviti mencanting batik yang dibina menerusi peruntukan RM200,000 daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB).
Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata kemudahan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kegiatan ekonomi dan keusahawanan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kemudahan berkenaan menyediakan ruang khusus kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti mencanting batik dalam persekitaran lebih selesa dan teratur.
“Inisiatif sama juga berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan kraftangan serta membuka peluang menjana pendapatan menerusi penghasilan batik.
“Saya berharap reka bentuk batik yang dihasilkan komuniti Kampung Baru Jumpa dapat didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi melindungi hak harta intelek dan identiti produk tempatan,” katanya.
Riduan yang juga Pengerusi MyIPO berkata demikian ketika berucap merasmikan kemudahan berkenaan baru-baru ini.
Beliau berkata pendaftaran dengan MyIPO penting bagi melindungi keunikan dan kreativiti hasil produk masyarakat setempat selain meningkatkan nilai komersialnya.
“Selain menyediakan peluang ekonomi, aktiviti mencanting batik juga mampu mengembangkan kreativiti serta kemahiran kraftangan penduduk kampung.
“Saya berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat sebagai pemangkin kepada perkembangan industri batik dan ekonomi luar bandar,” katanya.




![[VIDEO] November baru 11 hari, Kampung Melayu Subang ‘tenggelam’ kali keempat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/306147d4-e0d5-4e59-a721-6cde21831f3d-1024x766.jpeg)

