
KUALA LUMPUR – Malaysia sedang bersiap sedia menghadapi krisis bekalan yang semakin meruncing apabila gangguan berkaitan konflik di Timur Tengah mula menjejaskan rantaian bekalan bahan api, makanan, pembuatan dan penjagaan kesihatan.
Penasihat ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, negara sedang memasuki gangguan “bergelombang pelbagai” yang dijangka menjadi lebih ketara dalam beberapa bulan akan datang apabila perniagaan kehabisan inventori sedia ada dan berdepan kesukaran mendapatkan bekalan gantian.
“Sebab itu saya fikir Jun dan Julai akan menjadi tempoh sebenar di mana kita dapat melihat krisis ini dengan sangat jelas.
“Ini kerana pada ketika itu banyak perniagaan akan kehabisan stok lama mereka, khususnya bahan mentah, dan masih menunggu bekalan baharu tiba,” katanya, dalam temubual dengan BFM baru-baru ini.
Ketua Sekretariat Pasukan Petugas Pengurusan Krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara itu turut berkata kerajaan kini membelanjakan antara RM1.5 bilion hingga RM1.7 bilion untuk subsidi bagi mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api dan bekalan, sekali gus memberi tekanan yang semakin besar terhadap kewangan awam.
Nurhisham menambah bahawa Putrajaya kini terpaksa meneliti pengurangan perbelanjaan merentasi kementerian sebagai sebahagian daripada usaha pengurusan fiskal yang lebih menyeluruh, walaupun beliau menegaskan perkhidmatan asas awam akan terus dilindungi.
“Anda memang perlu mengurangkan perbelanjaan,” katanya.
Isu itu mendapat perhatian selepas dokumen dalaman yang bocor mendedahkan perbincangan mengenai kemungkinan pemotongan melibatkan kementerian utama termasuk kesihatan dan pendidikan.
Nurhisham menyifatkan dokumen itu sebagai “surat yang masih sangat awal” dan hanya bertujuan untuk perbincangan dalaman antara Kementerian Kewangan dan kementerian lain.
“Ia telah dibocorkan. Jadi, ini sebenarnya hanya titik permulaan perbincangan antara MOF dan kementerian lain. Ia tidak pernah dimaksudkan untuk diumumkan. Terus terang, ia juga tidak bertujuan mencetuskan panik,” katanya.
Beliau menambah bahawa sektor kesihatan dan pendidikan diberi perhatian utama kerana bajet kedua-duanya telah meningkat dengan ketara dalam tempoh tiga tahun lalu.
“Hakikatnya, itu adalah dua bajet terbesar. Sebab itulah mereka melihat perkara itu terlebih dahulu,” katanya.
Nurhisham turut menolak kritikan bahawa pemotongan itu akan terus menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam.
“Apa sahaja perkhidmatan asas yang kita sediakan akan terus dijamin,” katanya.
“Anda melihat kepada pengurangan perbelanjaan yang lebih bersifat budi bicara,’’ katanya.
Krisis itu kini sudah menjejaskan sektor yang sangat bergantung kepada petrokimia dan diesel termasuk pembuatan, pembinaan, pertanian dan pelancongan.
Menurut Nurhisham, Malaysia telah mengenal pasti kira-kira 60 barangan bekalan kritikal yang berdepan kekurangan, dengan kumpulan industri kini bertungkus-lumus mendapatkan sumber alternatif.
Beliau berkata plastik merupakan antara kebimbangan paling mendesak.
“Plastik dari Amerika Syarikat diperbuat daripada etilena, manakala plastik kita biasanya berasaskan nafta. Jadi terdapat ketidakpadanan spesifikasi.
“Saya dimaklumkan ia mengambil masa 45 hari untuk tiba di sini, berbanding kira-kira 20 hari dari Teluk,’’ ujarnya.
Perniagaan juga berdepan tekanan aliran tunai yang semakin meningkat apabila pembekal mengetatkan syarat kredit dan menuntut bayaran pendahuluan susulan ketidaktentuan semasa.
“Masalahnya ialah bekalan alternatif mungkin mempunyai spesifikasi yang salah, tidak mencapai standard kualiti yang kita mahukan, dan mengambil masa terlalu lama untuk tiba,” katanya.
Bagi mengurangkan tekanan terhadap syarikat, kerajaan telah memperluaskan sokongan pembiayaan melalui skim bantuan sedia ada. Nurhisham berkata lebih RM1 bilion pinjaman telah distruktur semula, manakala Bank Negara Malaysia telah membuka kemudahan bantuan bernilai RM5 bilion untuk perniagaan yang terjejas.
Pada masa sama, pihak berkuasa semakin bimbang terhadap kegiatan penyorokan bekalan, khususnya dalam sektor industri yang sudah pun berdepan kekurangan bekalan.
“Ya, malangnya ya. Kami mula melihat sedikit penyorokan, terutama di peringkat industri,” kata Nurhisham.
“Titik bahaya adalah jika orang awam mula melakukan perkara yang sama.”
Beliau menegaskan bahawa krisis semasa sangat berbeza daripada kemelesetan ekonomi terdahulu seperti Krisis Kewangan 1997, krisis kewangan global 2008 dan pandemik Covid-19 kerana ia didorong terutamanya oleh kekurangan bekalan, bukannya kelemahan permintaan.
“Ini adalah krisis bekalan. Dan ia sangat berbeza daripada krisis yang pernah kita lalui sebelum ini, yang kebanyakannya berkaitan permintaan,” katanya.
“Dalam krisis bekalan, anda tidak boleh keluar daripadanya hanya dengan berbelanja, kerana anda tidak boleh membeli sesuatu yang memang tiada.”
Nurhisham menggesa rakyat Malaysia supaya mengawal penggunaan dan mengelakkan pembelian panik ketika negara mengharungi tempoh mencabar dalam beberapa bulan akan datang.
“Kerajaan hanya mampu melakukan setakat tertentu sahaja.
“Jadi saya fikir dalam konteks ini, memahami sifat krisis ini, memahami bahawa kita perlu kembali kepada semangat Covid, kita jaga kita,” katanya. – 17 Mei, 2026
The post Kemuncak gangguan bekalan mungkin dirasai Jun, Julai: penasihat ekonomi PM appeared first on Scoop.




