
Bayangkan sedang bekerja seperti biasa di lapangan terbang, tiba-tiba menerima panggilan kecemasan mengenai seorang penumpang yang pengsan.
Sampai di lokasi, rupanya penumpang itu sudah lama tidak sedarkan diri dan mungkin meninggal dunia ketika masih berada dalam pesawat.
Dalam keadaan kelam-kabut, prosedur tetap perlu dilakukan termasuk Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), walaupun peluang untuk menyelamatkannya sangat tipis.
Itulah antara pengalaman yang dilalui Celine Ng Shue Qing, seorang pembantu perubatan (MA) yang baru tujuh bulan bertugas di lapangan terbang. Sepanjang tempoh singkat itu, dia sudah berdepan pelbagai situasi yang mungkin tidak pernah terbayang ketika mula memilih bidang perubatan.
Daripada penumpang yang pengsan, kemalangan, strok, muntah-muntah, masalah kesihatan ketika dalam penerbangan hinggalah kes melibatkan dadah, semuanya menjadi sebahagian daripada rutin kerja Celine.
Tugas sebagai MA di lapangan terbang ternyata tidak sama seperti bekerja di hospital. Persekitarannya pantas, penuh dengan peraturan dan memerlukan seseorang sentiasa bersedia menghadapi perkara tidak dijangka.
Gadis berusia 22 tahun itu mula tertarik dengan bidang MA ketika berada di tingkatan empat dan minatnya terhadap dunia perubatan semakin berkembang selepas mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.
Namun, pengalaman ketika menjalani latihan klinikal di Hospital Melaka menjadi titik penting yang membuatkannya benar-benar jatuh hati dengan bidang tersebut.
Ketika ditempatkan di bahagian kecemasan, Celine dapat melihat bagaimana doktor, jururawat dan petugas perubatan bekerjasama ketika mengendalikan pesakit, terutama ketika CPR.
Baginya, setiap orang mempunyai peranan tersendiri dan kerjasama pasukan itu membuatkan dia semakin yakin bahawa bidang berkenaan adalah sesuatu yang mahu diteruskannya.
Dia kemudiannya menjalani pengajian selama tiga tahun, merangkumi kira-kira setahun setengah teori dan setahun setengah latihan praktikal. Selepas tamat pengajian, peluang bertugas di lapangan terbang pula terbuka hasil cadangan tenaga pengajarnya.

PATUHI PERATURAN LAPANGAN TERBANG
Pada awalnya, satu perkara yang paling dirisaukan Celine ialah masalah bahasa kerana lapangan terbang menerima penumpang dari pelbagai negara. Namun, cabaran itu dapat diatasi dengan cara yang cukup mudah, termasuk menggunakan Google Translate apabila perlu.
Menurutnya, bekerja di lapangan terbang juga mempunyai peraturan tersendiri. Antaranya, urusan pasport perlu diselesaikan sebelum sesetengah pesakit dibawa keluar dari kawasan lapangan terbang.
Bagi penumpang yang mempunyai masalah visa atau dokumen perjalanan, keadaan menjadi lebih rumit. Ada yang tidak dibenarkan keluar dari lapangan terbang dan perlu menerima rawatan di situ.
Namun, antara pengalaman paling meninggalkan kesan ialah apabila berdepan penumpang yang meninggal dunia ketika dalam penerbangan.
Celine pernah mengendalikan kes seorang penumpang dari Perth, Australia yang dipercayai sudah tidak sedarkan diri sejak pesawat berlepas.
Disebabkan tidak diketahui berapa lama penumpang itu sudah tidak sedarkan diri, pasukan perubatan tetap perlu menjalankan CPR sebaik pesawat tiba.
Walaupun secara perubatan peluang untuk diselamatkan mungkin sudah terlalu tipis, prosedur tetap perlu dilakukan.
“Walaupun badan sudah sejuk, prosedur CPR tetap kena buat,” katanya.
Bagi Celine, bahagian paling sukar bukan sekadar melakukan CPR, tetapi berdepan ahli keluarga yang menangis dan meraung kerana kehilangan orang tersayang.
Namun, pengalaman menjalani latihan klinikal sebelum ini banyak membantu dirinya mengawal emosi.
Dia sudah biasa melihat situasi kecemasan dan kematian, walaupun tetap berasa sedih terutama apabila melihat keluarga mangsa.

PENUMPANG AGRESIF, MASALAH MENTAL
Selain CPR, Celine dan pasukannya turut mengendalikan kes kemalangan, pengsan, strok, keracunan serta pelbagai masalah kesihatan lain.
Mereka mempunyai tiga lokasi pasukan perubatan serta beberapa e-bike yang digunakan untuk bergerak pantas di sekitar terminal. Jika panggilan kecemasan diterima, pasukan terdekat akan terus bergerak ke lokasi.
Dalam keadaan lapangan terbang yang sibuk, beberapa pasukan boleh keluar serentak untuk mengendalikan kes berbeza.
Menariknya, tugas MA di lapangan terbang juga memerlukan mereka berdepan penumpang yang agresif atau mengalami masalah mental.
Celine pernah menerima panggilan mengenai seorang penumpang yang bertindak agresif selepas menuduh orang lain mencuri wangnya. Ada juga pesakit yang marah, menjerit dan cuba memukul petugas walaupun keadaan kesihatannya kelihatan stabil.
Dalam situasi seperti itu, keselamatan pasukan menjadi keutamaan. Biasanya, petugas keselamatan lapangan terbang dan khidmat pelanggan turut berada di lokasi bagi membantu mengawal keadaan.
Tidak cukup dengan itu, Celine yang berasal dari Sarawak pernah berdepan kes yang agak luar biasa apabila seorang penumpang warga asing ditemui tidak sedarkan diri di kawasan parkir.
Pada mulanya, pasukan menyangka lelaki itu mabuk. Namun, ketika pemeriksaan dibuat, mereka terlihat serbuk putih dipercayai dadah di sekitar hidungnya dan menemui satu paket besar di
dalam beg miliknya.
Pihak polis kemudian dipanggil untuk mengambil tindakan lanjut.

Bagi Celine, pengalaman seperti itu menunjukkan betapa luasnya skop tugas MA di lapangan terbang. Mereka bukan sekadar membantu penumpang sakit, tetapi perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan.
Dalam tempoh tujuh bulan, gadis genit itu juga semakin memahami bekerja sebagai MA bukanlah tugas yang mudah. Ada kalanya mereka perlu melakukan CPR untuk tempoh yang panjang dan bergilir-gilir kerana terlalu penat.
Namun, dia mengakui dirinya masih teruja untuk terus bekerja kerana setiap hari membawa pengalaman berbeza.
WANITA MAMPU TANGANI KECEMASAN
Satu lagi perkara yang mahu ditekankan Celine ialah tugas MA bukan hanya sesuai untuk lelaki. Menurutnya, wanita juga mampu mengendalikan situasi kecemasan, melakukan CPR, mengangkat pesakit dan kekal tenang ketika keadaan menjadi kelam-kabut.
Baginya, kekuatan fizikal bukan satu-satunya perkara yang penting. Keupayaan mengawal emosi dan membuat keputusan ketika berdepan situasi kritikal juga sangat diperlukan.
Celine juga berharap masyarakat lebih mengenali peranan MA yang sering tidak mendapat perhatian seperti doktor dan jururawat.
“Ramai masih keliru apabila melihat petugas perubatan dan menganggap mereka sebagai jururawat, sedangkan MA mempunyai skop tugas serta lesen tersendiri, termasuk membantu dalam pengurusan kes kecemasan dan prosedur tertentu,” katanya.
Walaupun baru tujuh bulan bertugas, pengalaman di lapangan terbang membuatkan Celine semakin yakin untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kecemasan.

Dia merancang menimba pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun sebelum menyambung pengajian dalam bidang perubatan kecemasan. Malah, dia bercadang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang berkenaan.
Bagi gadis dari etnik Bisaya itu, tempoh tujuh bulan mungkin masih terlalu singkat untuk mengatakan dirinya sudah benar-benar berpengalaman.
Namun, setiap panggilan kecemasan, setiap pesakit dan setiap situasi yang dilaluinya sedikit demi sedikit membentuk dirinya menjadi petugas perubatan yang lebih tenang dan bersedia.
The post ‘Kena buat CPR walaupun pesakit sudah mati’ appeared first on Utusan Malaysia.


![[VIDEO] Tren LRT Kelana Jaya berhenti kecemasan, penumpang cemas bau asap](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/tren-lrt-1024x639.jpeg)


