
Panduan Prosedur Rayuan Denda Di Mahkamah Majistret Atas Kesalahan Trafik
Pernah tak anda menjadi Orang Kena Saman (OKS) atas kes kesalahan trafik? Ya atau tidak, artikel ini mungkin bermanfaat untuk rujukan anda di masa akan datang.
Ada kemungkinan, anda akan melakukan salah satu daripada pelbagai kesalahan semasa berada di atas jalan raya seperti cukai jalan tamat tempoh, tidak menggunakan tali pinggang keledar dan membuat pusingan U di kawasan yang tidak sepatutnya.
Jika anda melakukan kesalahan-kesalahan tersebut, anda sebenarnya boleh disaman sama ada oleh pihak Polis Trafik atau pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Setelah mendapat surat saman daripada pihak berkuasa, anda dikehendaki untuk menghadiri sesi pengakuan bersalah kes kesalahan trafik, sebelum dijatuhkan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan di Mahkamah Majistret.
Sepanjang proses tersebut, anda boleh membuat rayuan kepada Majistret untuk mengurangkan hukuman ke atas diri anda dan membela diri jika terdapat kekhilafan dari sudut kecemasan dan sebagainya.
Secara umumnya, kita perlu berkelakuan baik dan memberikan imej positif untuk mempermudahkan urusan rayuan kes kesalahan trafik. Penampilan yang baik mampu menunjukkan bahawa kita benar-benar serius dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu,
Bagi sesiapa yang belum pernah mengalami situasi dia atas, jangan panik. Seorang pengguna Facebook, Fadil Mohd Yusof telah membuat satu hantaran mengenai tips untuk membuat rayuan atas kesalahan trafik. Berikut merupakan perkongsiannya beliau:
1) Datang awal ke mahkamah
Pastikan anda hadir ke mahkamah yang dinyatakan dalam surat saman sekitar jam 8.00-8.30 pagi. Pergi ke kaunter pertanyaan dan bertanya kepada staf Mahkamah mengenai lokasi bilik bicara untuk membicarakan kes anda. Bagi sesetengah tempat, meja ada disediakan untuk proses pendafataran.
2) Tunggu kes/nama anda dipanggil oleh jurubahasa Mahkamah.
Selepas mendaftar nama anda, sila pergi ke ke tempat pembicaraan dan duduk dalam Mahkamah. Mengenai etika pemakaian pula, pastikan anda tidak memakai jaket, topi, ataupun baju yang dirasakan tidak sesuai. Sebaik-baiknya, anda digalakkan untuk memakai pakaian formal.

Anda juga diminta untuk mematikan telefon bimbit atau meletakannya dalam mod senyap. Jangan sesekali mengenakan cermin mata hitam semasa pembicaraan melainkan terdapat sebab-sebab perubatan. Jika ada sebab-sebab perubatan, bawa bukti-bukti seperti surat saranan doktor dan laporan kesihatan bersama.
Ketika kes OKS lain sedang didengari, anda tidak boleh berbual-bual sepanjang perbicaraan berlangsung. Selain itu, anda juga digalakkan untuk mendengar rayuan yang dibuat oleh OKS lain semasa berada di hadapan Majistret.
3) Apabila nama anda dipanggil, sila tampil ke hadapan dan dengar pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa Mahkamah.
Fahamkan pertuduhan tersebut dan pastikan segala maklumat yang dibacakan adalah betul. Antara maklumat tersebut adalah seperti berikut: (a) Jenis kesalahan, (b) Nombor kenderaan, (c) Warna kenderaan, (d) Di mana kesalahan dilakukan dan yang paling penting, (e) Hukuman terhadap kesalahan tersebut.

4) Sesudah pertuduhan dibaca, Majistret akan tanya adakah anda mengaku bersalah atau mengaku tidak bersalah.
Jika anda tidak mengaku bersalah, satu tarikh sebutan baharu akan diberikan dan anda diminta untuk menghadiri semula ke Mahkamah bersama peguam anda.
Manakala, sekiranya anda mengaku bersalah, anda perlu mengemukakan rayuan untuk kurangkan denda. Antara faktor-faktor rayuan boleh dirujuk adalah seperti yang tertera di bawah;
(a) Jelaskan mengapa anda melakukan kesalahan tersebut,
Contoh: Tayar kereta anda bocor ketika anda ingin menduduki peperiksaan. Motor anda sudah tamat tempoh dan anda terpaksa menggunakan motor tersebut untuk ke pusat peperiksaan untuk masa depan anda.
(b) Kesalahan tersebut adalah kesalahan pertama yang anda lakukan,
(c) Anda adalah penyara tunggal keluarga,
(d) Anda baru sahaja memulakan kerja,
(e) Kedua ibu bapa anda mempunyai masalah kesihatan,
(f) Anda mempunyai banyak tanggungan,
(g) Anda mempunyai masalah kesihatan dan sebagainya.
Berikut adalah skrip untuk rayuan hukuman yang asas. Anda boleh mengubahnya mengikut situasi anda.
Dengan izin Tuan/Puan Majistret,
Saya, (*sebutkan nama anda) adalah Orang Kena Saman dalam kes ini.
Saya mengaku salah atas kesalahan tersebut dan ingin membuat rayuan untuk pengurangan denda seperti yang berikut:-a) Saya adalah penyara tunggal keluarga dengan gaji bulanan /harian sebanyak RM………
b) Saya mempunyai ………tanggungan iaitu isteri saya dan …….orang anak yang berusia antara ……tahun hingga ….. tahun.
c) Saya juga menanggung adik saya yang masih belajar sebanyak RM……sebulan.
d) Saya juga menanggung kos perubatan ibu/ayah saya yang menghidapi sakit ……… Kos perubatan tersebut kira-kira RM…..sebulan.
Dengan pengakuan salah saya ini, saya telah menjimatkan masa Mahkamah yang Mulia ini.
Saya juga berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.Berdasarkan alasan-alasan tersebut, saya memohon agar denda saya dikurangkan oleh Mahkamah yang Mulia ini.
Sekian, terima kasih.
Selepas menyatakan rayuan, pihak Mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang difikirkan munasabah untuk kes anda. Selepas itu, anda diminta untuk menunggu bil/caj pertuduhan berserta hukuman dan ia bakal diserahkan kepada anda melalui polis Mahkamah.

5) Bayar denda tersebut di kaunter bayaran
Sila bayar denda tersebut pada kaunter bayaran, berdasarkan jumlah yang tertera pada bil/caj pertuduhan berserta hukuman. Anda juga digalakkkan untuk menyimpan resit tersebut untuk dijadikan rujukan pada masa hadapan.
Perkongsian oleh Encik Fadil ini diharap dapat membantu para pengguna jalan raya yang baru sahaja mendapat saman dari pihak berkuasa. Tips ini juga dapat membantu anda untuk merangka ayat rayuan kes kesalahan trafik anda dengan lebih teratur dan sistematik dan mengelakkan anda merasa gugup semasa kes anda didengari.
Sumber: Fadil Mohd Yusof via Facebook
The post Kena Saman Di Jalan? Ini Panduan Prosedur Rayuan Nak Kurangkan Denda Di Mahkamah appeared first on Siakap Keli.
