Kena Strok Haba Akibat Didenda Berjemur Tengah Panas, Ibu Bapa Maklum Anaknya Mungkin Dinilai OKU

Entertainment
29 May 2024 • 5:22 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang pelajar tahun lima mengalami strok haba selepas didakwa didenda guru berdiri dalam cuaca panas mungkin akan dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU).

Ibu mangsa yang kecewa dengan perkara itu berkata, pihak Hospital Ampang sudah mengeluarkan surat rujukan untuk anaknya dinilai sebagai OKU akibat masalah kesihatan dialami, lapor Harian Metro.

Pihak hospital berkenaan memaklumkan ibu bapa bahawa anak mereka tidak dapat kembali ke sekolah kerana ‘keadaan saraf’ dialami akibat serangan haba.

“Terus terang cakap saya sakit hati bila tengok keadaan anak tidak macam biasa. Dulu dia kerap bermain dengan abang dan adiknya, sekarang dia banyak menyorok dan bercakap sendiri.

“Pihak hospital juga memaklumkan kepada saya bahawa anak sudah tidak boleh belajar di sekolah biasa akibat masalah kesihatan dialaminya dan minta saya hantarnya ke sekolah khas selepas ini,” katanya.

image is not available

Menurut peguam mereka, kes ini telah memberi tekanan kepada ibu bapa mangsa kerana terpaksa menerima hakikat yang kehidupan normal anaknya sudah berubah.

“Disebabkan itu selain tuntutan sivil, kami mahu guru terbabit dituduh di mahkamah dan dikenakan tindakan setimpal (jika disabitkan),” kata peguam.

Menurutnya, siasatan pihak berkuasa dan tindakan diambil pihak sekolah terhadap kes itu tidak memuaskan.

Terdahulu, polis menerima laporan seorang pelajar diarah berdiri di tengah padang sekolah di bawah terik matahari dari 10 pagi hingga 12.50 tengah hari dalam kejadian pada 30 April lalu.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.