Kenaikan cukai minuman bergula: Pengusaha restoran beri bayangan naikkan harga tapi minimum

14 Oct 2023 • 1:00 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dijangka menaikkan harga minuman susulan kenaikan duti eksais semasa bagi minuman bergula dari 40 sen kepada 50 sen seliter.

Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, kenaikan pelbagai kos bahan mentah telah menyukarkan pihaknya untuk menyerap kenaikan duti eksais terbabit.

image is not available
Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan. - Gambar Bernama, 14 Oktober, 2023

“Kadar kenaikan kita tidak dapat jangkakan lagi namun peningkatan itu akan dilakukan dengan kadar minimum. Sudah terlalu banyak barang yang kita serap namun bagi duti eksais minuman bergula, sukar untuk kami lakukan.

“Sejujurnya, sebagai contoh, kalau ikutkan kenaikan harga beras, nasi juga kosnya meningkat sehingga RM1 sepinggan namun kita tidak tergamak lagi (naikkan harga). Kami tanggung kenaikan itu kerana memahami situasi semasa,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Bagaimanapun pada masa sama, Jawahar menyambut baik kenaikan duti eksais minuman bergula itu bertujuan mengurangkan penggunaan gula dalam kehidupan harian rakyat di Malaysia.

“Hikmah di sebalik kenaikan duti eksais ini ialah dapat mengurangkan penggunaan gula dalam minuman. Ini terletak pada bahu pengguna untuk kurangkan bahan itu. Jangan jadikan ia sebagai bebanan kerana gula merupakan penyebab diabetes Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Bajet 2024 mengumumkan kenaikan duti eksais ke atas minuman bergula daripada 40 sen kepada 50 sen seliter mulai tahun depan.

Menurut Anwar, hasil kutipan duti tersebut tidak akan digunakan oleh kerajaan namun disalurkan semula, khusus untuk menangani dan merawat penyakit kencing manis termasuk sokongan kepada pusat dialisis.

image is not available
Pengerusi Persatuan Food Truck Malaysia (Mafta), Datuk Mohamad Zaini Md Taha (tengah) bersama pengusaha Food Truck. - Gambar Facebook, 14 Oktober, 2023

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Food Truck Malaysia (Mafta), Datuk Mohamad Zaini Md Taha berkata, dengan kenaikan duti eksais itu, pihaknya akan mengurangkan kadar gula dalam minuman sebagai pilihan terakhir untuk tidak menaikkan harga.

Menurut beliau, tindakan ini juga jelas membuktikan persatuan tersebut senada dengan kerajaan untuk mengurangkan gula dalam minuman bagi mengelak rakyat Malaysia terjebak dengan diabetes.

“Kenapa nak naikkan harga kalau kita boleh kurangkan gula yang dilihat dapat membantu menjaga kesihatan. Ini adalah yang terbaik dan kempen ini perlu disahut semua peniaga.

“Kami sambut baik langkah kerajaan untuk menggunakan hasil duti itu bagi rawatan kencing manis dan pusat dialisis yang boleh membantu golongan memerlukan.

“Ini kerana kebanyakan peralatan di pusat kesihatan kerajaan berada dalam keadaan uzur serta rosak sehingga pesakit terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan rawatan. - 14 Oktober, 2023