IPOH – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menggesa kerajaan mempertimbangkan insentif tambahan susulan kenaikan harga bahan api khususnya diesel bagi melindungi rakyat serta memastikan momentum pemulihan ekonomi negara tidak terjejas.
Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Shafiq Ariffin berkata, peningkatan harga bahan api berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan pemain industri, khususnya melibatkan kos logistik, harga barangan serta tekanan terhadap kos sara hidup.
Menurutnya, walaupun langkah rasionalisasi subsidi penting dalam usaha penstrukturan fiskal jangka panjang kesan langsung kepada rakyat dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) tidak boleh dipandang ringan.
"Kenaikan harga diesel berpotensi memberi kesan rantaian kepada harga barangan keperluan harian melalui peningkatan kos pengangkutan dan logistik.
"Ia sekali gus menambah tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah sokongan tambahan bagi mengimbangi impak kenaikan tersebut.
Antara cadangan dikemukakan termasuk pemberian insentif bersasar kepada sektor logistik dan pengangkutan bagi mengawal peningkatan kos operasi selain rebat atau potongan cukai sementara kepada PKS.
Beliau turut menekankan keperluan pemantauan harga yang lebih tegas bagi mengelakkan sebarang unsur pencatutan dalam rantaian bekalan.
Menurutnya, langkah-langkah berkenaan penting bagi memastikan penyesuaian harga bahan api tidak menjejaskan momentum pemulihan ekonomi yang sedang berkembang.
"Ekonomi yang sihat memerlukan keseimbangan antara disiplin fiskal dan perlindungan terhadap kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan perlu tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh dan responsif agar setiap langkah penstrukturan ekonomi dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan rakyat serta kestabilan pasaran,” ujarnya.

![[VIDEO] Kerajaan pertimbang waktu kerja anjal, galak sektor swasta ikut langkah BDR](https://cdn.newswav.com/img/topic/business-and-finance.jpeg)