KENAIKAN mendadak harga minyak global melepasi paras AS$100 (RM399) setong bukan sekadar isu sementara, tetapi merupakan isyarat jelas bahawa tekanan ekonomi global kini berada pada tahap yang serius.
Ia bukan sekadar isu harga minyak, tetapi jauh lebih daripada itu, dengan kebarangkalian ia menular kepada himpitan kos pengeluaran yang bakal dialihkan kepada pengguna, sekali gus memberi tekanan inflasi dan menghimpit kuasa beli, menyebabkan peningkatan kos sara hidup serta menjejaskan kualiti hidup rakyat.
Ini bukanlah masa untuk memperlihatkan keegoan atau bekerja secara silo dalam mencari jalan penyelesaian. Sebarang tawaran untuk mencari penyelesaian tuntas secara bersama, tanpa mengira batas parti politik, harus disambut baik.
Pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel domestik melalui Mekanisme Harga Automatik (APM) membuktikan bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada gelombang ketidaktentuan ini.
Walaupun pelbagai langkah mitigasi seperti subsidi bersasar dan bantuan tunai diperkenalkan, realitinya tekanan kos sedang merebak dengan cepat ke seluruh sistem ekonomi negara.
Apa yang menggusarkan ialah kesan ini berkemungkinan menjadi kesan berkekalan dan bukan sementara.
Kenaikan ini kini menjadi realiti apabila harga runcit bahan api bagi tempoh terkini menyaksikan lonjakan ketara, dengan petrol RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM3.87 seliter, RON97 kepada RM5.15 seliter, manakala diesel di Semenanjung mencecah RM5.52 seliter.
Sebagai perbandingan, hanya minggu sebelumnya harga berada sekitar RM3.27 (RON95), RM4.55 (RON97) dan RM4.72 (diesel Semenanjung), menunjukkan peningkatan mendadak dalam tempoh yang sangat singkat.
Lonjakan ini memberi gambaran jelas bahawa tekanan kos sedang bergerak pantas dan berpotensi memberi kesan besar kepada keseluruhan rantaian ekonomi negara dalam masa terdekat.
Kenaikan harga bahan api bukan sekadar memberi kesan kepada pengguna secara langsung, tetapi turut mencetuskan kesan rantaian yang lebih luas.
Kos pengangkutan meningkat, kos logistik melonjak, dan akhirnya harga barang serta perkhidmatan akan turut meningkat.
Dalam tempoh yang singkat, tekanan ini boleh menjejaskan margin keuntungan perniagaan, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sekiranya keadaan ini berterusan tanpa pendekatan yang lebih menyeluruh, risiko yang lebih besar bakal muncul.
Antaranya ialah pengurangan tenaga kerja, penyusutan aktiviti ekonomi, serta kemerosotan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi negara.
Dalam konteks ini, cadangan oleh Dr. Sam mengenai pendekatan tidak berpihak (non-partisan) dan penubuhan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Ia harus disambut dengan minda yang terbuka tanpa prasangka demi kemakmuran bersama.
Cadangan tersebut bukan sekadar idea politik, tetapi satu keperluan dasar yang bersifat strategik.
Dalam situasi krisis yang kompleks dan merentas sektor, pendekatan unilateral adalah tidak mencukupi.
Sebaliknya, negara memerlukan platform yang mampu menghimpunkan kepakaran pelbagai pihak secara tersusun dan berfokus, melibatkan kerajaan, pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemain industri, institusi kewangan serta wakil masyarakat sivil.
Majlis yang dicadangkan boleh berfungsi sebagai pusat koordinasi nasional yang menggabungkan analisis akademik, input industri, pandangan masyarakat serta keupayaan dasar kerajaan.
Ini membolehkan tindak balas yang lebih tepat, cepat dan menyeluruh.
Lebih penting, pendekatan ini mampu mengurangkan risiko keputusan dasar yang bersifat reaktif atau jangka pendek semata-mata.
Dalam keadaan ketidaktentuan global, dasar yang tidak bersepadu boleh mempercepatkan tekanan ekonomi, bukannya meredakannya.
Walaupun kerajaan telah mengambil langkah seperti mengekalkan subsidi bersasar dan meningkatkan bantuan kepada golongan tertentu, langkah-langkah ini bersifat mitigasi jangka pendek.
Apa yang lebih diperlukan ketika ini ialah satu kerangka strategik yang menyeluruh untuk menghadapi potensi krisis ekonomi yang lebih besar.
Selain itu, pendekatan tidak berpihak juga mempunyai nilai strategik dari sudut keyakinan pasaran.
Apabila pelabur melihat kestabilan politik dan kesepaduan dalam pembuatan dasar, ia meningkatkan persepsi terhadap daya tahan ekonomi negara.
Dalam keadaan global yang tidak menentu, faktor keyakinan ini menjadi aset yang sangat kritikal.
Namun begitu, masa bukan lagi di pihak kita. Kenaikan harga minyak yang berlaku sekarang mungkin hanyalah permulaan kepada tekanan yang lebih besar dalam beberapa bulan akan datang.
Sekiranya tindakan yang lebih komprehensif tidak diambil segera, kesan terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kestabilan ekonomi boleh menjadi lebih sukar dikawal.
Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan penubuhan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara ini dengan segera.
Ini bukan soal menerima atau menolak cadangan pihak tertentu, tetapi soal memastikan negara mempunyai mekanisme terbaik untuk menghadapi krisis yang sedang berkembang.
Malaysia tidak boleh menunggu sehingga keadaan menjadi parah sebelum bertindak.
Dalam situasi seperti ini, keupayaan untuk bertindak lebih awal, secara bersama dan berstrategi adalah kunci kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Pendekatan tidak berpihak bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.
Ia adalah asas kepada daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin kompleks.
*** Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid ialah Profesor di Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF) dan Felo Ekonomi dan Perniagaan di The Future Research.


