
KUALA LUMPUR - Industri pengangkutan feri di Langkawi berdepan risiko gulung tikar sekiranya langkah pengurangan jadual perjalanan tidak dilaksanakan segera susulan kenaikan mendadak harga diesel industri.
Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Dr Baharin Baharom berkata, peningkatan kos bahan api melebihi 100 peratus telah memberi tekanan besar kepada pengendali sehingga operasi harian tidak lagi mampan jika diteruskan seperti biasa.
Katanya, operator feri terpaksa menyusun semula jadual perjalanan dengan mengurangkan kekerapan daripada lima kepada hanya tiga trip sehari sebagai langkah penstabilan.
“Keputusan ini dibuat bagi memastikan operasi feri tidak dihentikan sepenuhnya kerana kenaikan kos diesel telah memberi kesan langsung kepada perbelanjaan operasi termasuk penyelenggaraan dan logistik.
“Pengurangan jadual ini bukan pilihan, tetapi satu keperluan untuk memastikan perkhidmatan feri terus bertahan.
“Jika tiada pelarasan dibuat, industri ini berisiko tidak dapat beroperasi dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas kritikan pengguna terhadap pengurangan jadual, beliau berkata semua pihak perlu memahami realiti semasa yang dihadapi industri tersebut.
Katanya, kadar tambang feri ke Langkawi antara yang terendah di Malaysia, iaitu sekitar 88 sen bagi setiap batu nautika.
“Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding laluan ke pulau lain seperti Pulau Tioman dan Pulau Pangkor yang mencecah sekitar RM2 bagi jarak yang sama,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kadar tambang rendah itu dikekalkan bagi memastikan akses mampu milik kepada orang ramai, namun dalam situasi kos operasi yang meningkat secara mendadak, ia kini menjadi cabaran besar kepada pengendali feri. - Getaran, 26 Mac 2026

