Kenaikan insentif pembajakan, penuaian rezeki buat pesawah - PESAK

11 Jun 2024 • 6:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Persatuan Pesawah-pesawah Kelantan (PESAK) menyifatkan kenaikan insentif pembajakan dan penuaian yang baharu dipekerkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai rezeki terpijak buat mereka. (Gambar kecil:Mat Rapi)

image is not available
Kenaikan insentif pembajakan dan penuaian yang baharu dipekerkenalkan oleh KPKM adalah berita gembira buat petani apabila sebelum ini mereka perlu menanggung kerugian kerana berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

KOTA BHARU - Persatuan Pesawah-pesawah Kelantan (PESAK) menyifatkan kenaikan insentif pembajakan dan penuaian yang baharu diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai rezeki terpijak buat mereka.

Timbalan Pengerusinya, Mat Rapi Mohd Ghazali berkata, PESAK yang dianggotai seramai 5,000 pesawah menyokong penuh penambahbaikan itu sekali gus dilihat mampu merancakkan lagi perkembangan industri padi negara.

"Ini usaha yang baik dilakukan melibatkan insentif pembajakan daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus mencukupi pada masa hadapan.

"Begitu juga dengan insentif baharu iaitu penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim merupakan tanda kerajaan prihatin terhadap pesawah.

"Musim kali ini ada di antara kami yang rugi sepenuhnya apabila padi yang ditanam langsung tidak dapat dituai," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurutnya, selain perlu menanggung kerugian mereka juga perlu berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Ujarnya, dengan inisiatif ini sekurang-kurangnya membolehkan mereka tidur lena.

Pada 27 Mei 2024 lalu, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) termasuklah kategori BUDI Agri-Komoditi kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan.

Sementara itu, KPKM melalui siaran medianya pada tarikh yang sama telah memaklumkan bahawa subsidi diesel kepada nelayan dikekalkan dan mengumumkan kenaikan kadar insentif pembajakan serta pengenalan insentif baharu penuaian kepada pesawah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!