
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Jika dibandingkan harga minyak petrol seliter pada awal Februari lalu dengan harga mingguan kebelakangan ini nyata menunjukkan perbezaan yang begitu ketara.
Perkara itu berlaku ekoran kesan daripada konflik yang berlaku di Asia Barat, yang secara tidak langsung turut menjejaskan ekonomi dunia termasuklah bahan api.
Terbaharu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly memaklumkan harga bagi ubat-ubatan di negara ini dilaporkan meningkat di antara 30-40%.
Ia susulan daripada kenaikan kos logistik, pengangkutan serta bahan api.
Jelas beliau, peningkatan harga berkenaan juga memberi kesan kepada kos peranti perubatan yang juga mencatatkan kenaikan lebih tinggi sebelum itu.
“Pastinya harga ubat sudah pun mula meningkat kerana perkara ini berkait dengan logistik, pengangkutan dan minyak. Kita dapati kos kenaikan harga ubat-ubatan telah pun berlaku lebih kurang 30-40%,” ujarnya, lapor Kosmo.
Menurut Dr. Dzulkefly lagi, harga peranti perubatan turut dikesan mempunyai peningkatan yang lebih ketara ekoran daripada gangguan penghantaran konsainan di peringkat awal.
“Peranti perubatan mungkin lebih tinggi kerana pada awalnya terdapat penangguhan penghantaran. Peranti itu sebelum Mac lagi, mereka telah buat satu ‘put on hold’, jadi itu yang menyebabkan kenaikan harga lebih awal, dengan peningkatan antara 50 hingga 100%.”
Dr. Dzulkefly menjelaskan beberapa mekanisme juga sedang dipertimbangkan termasuk surcaj serta kaedah pemindahan kos (Cost passthrough) selepas disoal apakah langkah dibuat kerajaan bagi menangani perkara itu.
Tambah beliau lagi, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan meneliti hal berkenaan selain ia akan dibincangkan di peringkat Kabinet.
“Kita sentiasa melihat perkara-perkara ini dan akan perincikan bagaimana kita tangani dan ambil langkah mitigasi untuk jangka pendek, pertengahan dan panjang,” jelasnya lagi.
Beliau dalam masa sama turut memberi jaminan tahap perkhidmatan kesihatan negara setakat ini kekal mampan serta tidak terjejas.
“Ketua Pengarah sentiasa memberikan saya kemas kini, saya juga memerhatikan semua ini, setakat ini belum ada yang terkesan. Keadaan masih terkawal dan stabil, namun kita akan terus mengambil langkah lebih ketat bagi memastikan tiada gangguan bekalan,” katanya.



