Kenaikan tarif air Terengganu terlalu tinggi, bebankan golongan peniaga - Dr Ahmad Razif

30/09/2025 - 09:23
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 30 Sept – Kenaikan tarif baharu oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) menyebabkan ramai peniaga seperti pemilik warung, restoran, inap desa dan kedai dobi terkesan dengan caj penggunaan melonjak hingga 133%.
Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman berkata, selain peniaga kecil, pengguna domestik turut menerima tekanan apabila kadar penggunaan melebihi 35 meter padu sebulan kini perlu membayar sama dengan kadar industri iaitu RM2.25 bagi setiap meter padu.
Menurut beliau, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana berbeza dengan operator air di negeri lain, pembangunan aset air di Terengganu dibiayai oleh kerajaan negeri atau Persekutuan.
“SATU hanya menanggung kos penyelenggaraan.
“Dengan struktur sebegini, kadar tarif air tidak sepatutnya terlalu tinggi khususnya untuk penggunaan domestik,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Razif berkata, ketika pemerintahan Barisan Nasional, semakan terakhir dibuat pada 1 Januari 1999.
“Kenaikan tarif tidak berlaku terlalu kerap pada zaman BN, hanya selepas bertahun-tahun sekali sahaja dilakukan.
“Sebaliknya, pada masa sekarang, semakan tarif telah berlaku empat kali dalam tempoh tiga hingga empat tahun sahaja iaitu bermula 1 Ogos 2022, 1 April 2023, 1 Februari 2024 dan terkini pada 1 Ogos 2025.
“Bayangkan perbezaannya, dulu semakan dibuat sekali sahaja dalam tempoh bertahun-tahun tetapi sekarang dalam tempoh singkat sudah empat kali berlaku,”katanya.
Beliau turut meminta Exco berkaitan memberi penjelasan tepat mengenai kenaikan tarif yang turut melibatkan kediaman masing-masing.
Katanya, jika bil tarif lama berjumlah RM100, di bawah tarif baharu ia sepatutnya mencecah sekitar RM196 atau naik hampir 96%, bukannya hanya RM121 sebagaimana dinyatakan Exco terbabit.
“Kalau beliau kata RM121, ia adalah kerana penggunaan air pada bulan tersebut lebih rendah berbanding sebelumnya,” katanya. - DagangNews.com
standard



