UMT perkenal tiga program baharu lahirkan graduan mahir tenaga hijau dan maritim

LocalTechnology
29 Sep 2025 • 12:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UMT perkenal tiga program baharu lahirkan graduan mahir tenaga hijau dan maritim

image is not available

29/09/2025 - 12:05

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 29 Sept – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengorak langkah sebagai peneraju pendidikan tinggi berteraskan sains marin, sumber akuatik dan kelestarian apabila memperkenalkan tiga program baharu mulai sesi akademik 2025/2026.

Tiga program tersebut ialah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) dengan Kepujian (Dual Degree).

Naib Canselor UMT, Prof Ir Ts Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, penawaran program baharu itu adalah sebahagian daripada strategi universiti untuk mendepani cabaran global selaras dengan tujahan utama UMT yang menekankan pemeliharaan alam sekitar, teknologi pintar dan kelestarian tenaga.

“UMT sentiasa komited untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing dalam pasaran kerja tetapi juga mampu menjadi agen perubahan dalam memperkasa agenda kelestarian.

“Melalui program ini, kita mahu melatih generasi muda agar bersedia menghadapi peralihan tenaga, perkembangan teknologi elektrik moden serta revolusi maritim global yang menuntut inovasi dan kepakaran” katanya dalam satu kenyataan.

Program Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga hijau seperti solar, angin dan biojisim seiring usaha negara mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.

Sementara itu, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) pula menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam sistem kuasa, grid pintar dan aplikasi tenaga moden yang kritikal untuk pembangunan negara.

image is not available

Selain itu, program Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) dengan Kepujian (Dual Degree) yang ditawarkan melalui kerjasama antarabangsa akan membuka peluang kepada graduan untuk meneroka teknologi terkini dalam industri maritim serta memperkukuh jaringan global UMT sebagai universiti rujukan dalam bidang sains dan teknologi marin.

Beliau berkata, penawaran program baharu itu selaras dengan halatuju UMT sebagai universiti lestari berfokuskan lautan yang terus memacu penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan bagi mendukung Agenda Pembangunan Mampan (SDG).

“Dengan adanya program ini, UMT bukan sahaja menyokong aspirasi negara dalam pembangunan tenaga dan teknologi, tetapi juga memperkukuh peranan kita sebagai universiti yang bertanggungjawab dalam menjaga kelestarian alam demi kesejahteraan global.

“Dengan penawaran baharu itu, UMT optimis dapat melahirkan graduan holistik, berpengetahuan tinggi serta bersedia menyumbang kepada industri strategik yang menjadi nadi kepada masa depan negara,” katanya. - DagangNews.com

standard