Kenakan caj RM700, sindiket 'Flying Pasport' tumpas

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 7:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kenakan caj RM700, sindiket 'Flying Pasport' tumpas
Antara suspek diberkas dalam Op Crack di KSAB, Gelang Patah pada Khamis.
Image from: Kenakan caj RM700, sindiket 'Flying Pasport' tumpas
Antara peralatan termasuk wang tunai yang dirampas ketika serbuan.

JOHOR BAHRU - Taktik mengumpulkan pasport warga asing bagi mewujudkan rekod pergerakan palsu tanpa kehadiran fizikal pemilik dokumen berjaya dibongkar menerusi Op Crack di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah pada Khamis.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 10 pagi yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Johor itu turut menahan tiga suspek berusia antara 33 hingga 41 tahun.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil tindakan susulan JIM berdasarkan perkembangan siasatan Op Crack yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

"Siasatan mendapati sindiket berkenaan mengumpulkan pasport milik warga asing tanpa memerlukan kehadiran fizikal pemilik dokumen di pintu masuk negara.

"Salinan muka hadapan pasport kemudian dihantar oleh ejen sindiket menerusi aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol dengan sindiket untuk diimbas bagi mewujudkan rekod pergerakan palsu dalam sistem JIM," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, sindiket itu mengenakan bayaran sebanyak RM700 bagi setiap pasport warga asing yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

"Pasukan operasi turut menyita telefon bimbit, kunci premis, barang kemas, cap keselamatan imigresen serta wang tunai berjumlah RM20,000.

**media[3608348]**

"Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(h) Akta Pasport 1966 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, JIM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit.

"Tindakan tegas akan diambil bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved