
PUTRAJAYA: satu sindiket ‘Flying Pasport’ berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi penahanan tiga individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Johor, semalam.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kejayaan ini adalah hasil tindakan susulan JIM yang digerakkan berdasarkan perkembangan siasatan Op Crack yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Katanya, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengumpulkan pasport milik warga asing tanpa memerlukan kehadiran fizikal pemilik dokumen tersebut di pintu masuk negara.
“Salinan muka hadapan pasport kemudiannya dihantar oleh ejen sindiket melalui aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol dengan sindiket untuk diimbas bagi mewujudkan rekod pergerakan palsu dalam sistem JIM.
“Ejen mengenakan bayaran sebanyak RM700 bagi setiap pasport warga asing yang mengunakan perkhidmatan sindiket ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, tiga individu yang ditahan itu berumur di antara 33 hingga 41 tahun dan pasukan operasi turut menyita telefon bimbit, kunci premis, barang kemas, cap keselamatan imigresen dan wang tunai berjumlah RM20,000.
Katanya, kesemua mereka ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Sek.12(1)(h) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut. – UTUSAN
The post Op Crack: Sindiket ‘flying pasport’ tumpas appeared first on Utusan Malaysia.






