
Sebuah lagi karya tersohor Disney yang pernah mencuri perhatian pencinta dunia animasi pada tahun 90-an dahulu adalah filem kartun The Lion King.
Lebih 20 tahun kemudian, ia diterbitkan pula dalam bentuk ‘live action’ atau aksi nyata sehingga berjaya mencipta suatu fenomena baharu dan tersendiri dalam dunia penerbitan filem yang menggunakan haiwan sebagai watak utama.
Tahun ini, para pengkarya Disney terus bertambah bijak dengan menampilkan prekuel kepada filem tersebut lewat persembahan terbaharu mereka iaitu Mufasa : The Lion King.

Buat penonton dan pengikut setia dunia The Lion King, pasti tahu bahawa Mufasa merupakan Raja Singa pertama dalam filem The Lion King asal dan juga ayahanda kepada Simba, sang putera yang kemudian menjadi raja binatang terbaharu daerah Pride Rock.
Mufasa: The Lion King menyingkap asal-usul singa tersebut sebelum dirinya bergelar ‘raja rimba’. Ia juga menceritakan kisah sebenar di balik parut yang ada di muka saudaranya, Scar (yang pada asalnya bernama Taka).
Kisah bermula dengan Mufasa yang kecil dan lahir daripada kawanan singa biasa dan terpisah dari kawanan singa yang lain.
Selepas suatu banjir besar Mufasa terpisah dari ibubapanya dan ditemui sekaligus diselamatkan oleh Taka, seekor singa muda bersama ibunya Eshe yang juga putera dan permaisuri kepada Obasi, raja singa di sebuah daerah berbeza.
Mufasa pada mulanya tidak diterima oleh Obasi namun seiring waktu berlalu, dia berjaya membuktikan kehebatannya dan akhirnya mendapat tempat di mata Obasi.
Pada waktu yang sama, dunia rimba diancam sekumpulan kawanan singa putih yang dipimpin Kiros, raja mereka yang buas dan kejam. Oleh kerana puteranya dibunuh semasa cuba menyerang Mufasa dan Eshe dalam satu pemburuan, dia ingin membalas dendam sekaligus menghapuskan kelompok singa Obasi dan kawanan singa lain yang menentangnya.
Demi meneruskan kitaran hidup, Mufasa dan Taka disuruh Obasi dan Eshe untuk pergi mencari kehidupan baharu jauh daripada ancaman Kiros dan para pengikutnya.
Sambil diburu kawanan singa Kiros, mereka berdua menemui Rafiki seekor babun pintar, Sarabi seekor puteri singa dan burung suruhannya Zazu dalam pengembaraan mereka.
Dari situlah segalanya mula terungkai dan perjalanan hidup Mufasa serta Taka berubah sehingga menjadi kisah Lion King yang diketahui umum.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ini salah satu filem aksi nyata bertemakan haiwan Disney yang paling berjaya.
Penggarapan seni layarnya menakjubkan di samping sajian visual yang luar biasa. Apatah lagi suara watak-watak utama filem ini dijayakan oleh bintang-bintang terhebat Hollywood yang mampu menghidupkan filem dengan cemerlang.
Tidak lekang dari filem ini adalah selingan nyanyian serta skor muzik yang sememangnya salah satu ciri wajib setiap karya Disney.
Berbekalkan muzik yang hebat dan paling penting seni visual yang begitu nyata dan meyakinkan, filem ini memang wajar menjadi filem penutup untuk hujung tahun 2024.
Selain sesuai buat seisi keluarga, ia juga sarat dengan pelbagai pengajaran yang pasti akan membuat tiap penonton berfikir dalam menjalani kehidupan!
Mufasa: The Lion King ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 19 Disember 2024. - Getaran, 20 Disember 2024

