Kenali Mendiang Shinzo Abe dan Hari Terakhir Beliau

30 Aug 2022 • 11:00 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Sumber: The Sun

Tahukah anda sosok lelaki yang bernama Shinzo Abe ini? Shinzo Abe atau dalam sebutan Jepunnya, Abe Shinzou, dilahirkan pada 21 September 1954 dalam keluarga yang giat dalam bidang politik. Datuknya, Kan Abe dan bapanya, Shintaro Abe merupakan ahli politik dalam Diet Kebangsaan Jepun iaitu badan perundangan tinggi kerajaan Jepun. Ibu Shinzo Abe pula ialah Yoko Kishi, iaitu anak kepada Nobosuke Kishi, Perdana Menteri Jepun yang memegang jawatan daripada tahun 1957 sehingga 1960. Oleh itu, tidak terkejut apabila darah dan jiwa politik menebal di dalam diri Shinzo Abe.

Shinzo Abe telah dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun pada tahun 2006 dan merupakan Perdana Menteri Jepun yang pertama dilahirkan selepas Perang Dunia Ke-2. Namun begitu, baru setahun usia jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan baru tiga hari selepas sesi parlimen dimulakan pada tahun 2007, Shinzo Abe telah melakukan kejutan dengan menyatakan hasrat untuk meletak jawatan dalam suatu sidang akhbar tergempar.

Tidak lama kemudian, barulah rakyat Jepun mengetahui bahawa beliau sebenarnya menghidapi penyakit kolitis ulseratif ataupun ulcerative colitis iaitu peradangan pada usus besar (kolon) dan dubur. Namun begitu, apabila ubat Mesalazine dibawa masuk ke Jepun, masalah kesihatan beliau berjaya dipulihkan dan beliau kembali hidup normal. Lima tahun selepas perletakan jawatan beliau yang pertama itu, beliau telah kembali sebagai Perdana Menteri Jepun pada tahun 2012. Beliau memegang jawatan tersebut selama empat penggal sehingga tahun 2020. Malangnya, pada 28 Ogos 2020, Shinzo Abe sekali lagi terpaksa meletakkan jawatan kerana masalah kesihatannya yang lama telah kembali dan menyebabkan beliau tidak dapat medukung tugasan beliau dengan baik.

Pada 8 Julai 2022, Shinzo Abe sedang membuat ucapan politik di bandar Nara, Jepun. Beliau kelihatan lebih sihat berbanding keadaan dirinya sewaktu hari terakhir beliau memberi tahu ingin mengundur diri dua tahun yang lepas. Beliau lantang berucap di Stesen Yamato-Saidaiji dan meminta rakyatnya memilih Kei Sato, seorang calon pilihanraya dewan atasan pada hari Ahad yang akan datang sambil ditemani beberapa pengawalnya yang berdiri tidak berapa jauh darinya,

Tiba-tiba, seorang lelaki yang datang dari mana arahnya berdiri beberapa meter di belakang bekas perdana menteri tersebut dan melepaskan tembakan kepada Shinzo Abe. Tembakan pertama membuatkan orang disitu panik, terutamanya apabila ruangan terbuka tersebut dipenuhi kepulan asap putih. Beberapa saat kemudian, tembakan kedua dilepaskan lelaki berkenaan dan Shinzo Abe rebah kebumi. Lelaki yang bernama Tetsuya Yamagami itu adalah seorang bekas anggota pasukan pertahanan maritim Jepun yang berusia 41 tahun. Dia telah menembak bekas perdana menteri itu dengan pistol buatannya sendiri.

Tetsuya Yamagami dijatuhkan salah seorang pengawal Shinzo Abe selepas tembakan kedua dilepaskan
Sumber: Berita Harian

Walaupun Shinzo Abe dikejarkan ke hospital, namun disebabkan kecederaan yang dialaminya serius dimana kedua-dua tembakan telah menyebabkan luka yang dalam pada leher dan jantungnya, beliau tidak dapat diselamatkan walaupun pihak perubatan telah cuba sedaya upaya termasuk memindahkan lebih 100 unit darah dalam masa empat jam. Shinzo Abe meninggalkan seorang balu, Akie Matsuzaki.

Sumber: Japan Times

Tetsuya Yamagami memberitahu pihak berkuasa bahawa dia telah berbulan-bulan merancang pembunuhan Shinzo Abe kerana dendam. Menurutnya, ramai mengetahui Shinzo Abe terlibat dengan sebuah organisasi keagamaan yang meminta derma yang besar dan kerap. Ibunya telah menjadi obses dengan organisasi yang sama dan telah memberi derma dengan kerap sehingga menyebabkan perniagaan keluarganya merosot dan mereka muflis.


Saya Zuan adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav.

Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.