
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Misha Omar,45, menyifatkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai seorang insan yang penuh dengan kelembutan, kasih sayang dan perikemanusiaan.
Misha berkata, pengalaman membawakan watak Tun Dr Siti Hasmah ketika remaja dalam pementasan teater Muzikal Tun Mahathir II di Istana Budaya pada 2011 memberi peluang kepadanya untuk mengenali sisi peribadi tokoh berkenaan dengan lebih dekat.
Menurut Misha, dia pernah berkesempatan bertemu dan menemu bual Allahyarhamah secara peribadi bagi mendapatkan gambaran mengenai keperibadian serta sisi kehidupan Tun Dr Siti Hasmah ketika masih muda.
“Tun seorang yang sangat baik, seperti seorang ‘angel’. Cara beliau melayan saya yang ketika itu masih muda dan baru dalam industri begitu baik. Tidak ada jurang yang besar, sedangkan kedudukan beliau sangat tinggi.
“Beliau ialah First Lady, tetapi ketika saya berjumpa dengannya ketika itu, suasananya sangat selesa dan tenang. Semuanya berjalan dengan begitu baik dan beliau tidak pernah membuatkan saya berasa kekok atau takut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Misha berkata demikian ketika ditemui di Sesi Temu Bual Eksklusif Showcase Misha Omar Aku &Lelaki di sini, hari ini.
Tambah Misha, pertemuan berkenaan juga meninggalkan kesan mendalam kepadanya kerana Allahyarhamah tidak pernah mewujudkan jurang antara dirinya sebagai tokoh negara dengan seorang anak seni yang jauh lebih muda.
“Ketika saya bertemu beliau, saya baru sahaja menjadi penyanyi dan pelakon. Tetapi beliau tidak menciptakan jurang itu sehingga membuatkan kita berasa kekok atau takut. Tidak, tidak sama sekali.
“Saya sangat berbangga kerana pernah mempunyai detik seperti itu bersama beliau. Bagi saya, beliau penuh dengan kelembutan, penuh kasih sayang dan penuh perikemanusiaan,” katanya.
Mengimbau kembali pertemuan tersebut, Misha berkata, Allahyarhamah turut memberikan nasihat kepadanya berkaitan soal perhubungan dan rumah tangga.
“Pada ketika itu, saya sebenarnya sedang mencari nasihat tentang soal perhubungan. Allahyarhamah pernah berpesan kepada saya, ‘Walau siapa pun kamu, kamu perlu menghormati suami kamu.’
“Beliau juga berpesan supaya kita berjalan di belakangnya dan di sampingnya. Begitulah, sesederhana itu. Nasihat itu sangat bermakna kepada saya dan menjadi antara perkara yang saya ingat daripada pertemuan kami,” katanya.
Dalam pada itu, Misha turut mengakui berasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah selain menyifatkan semalam umpama hari yang begitu panjang dan menyedihkan, khususnya bagi mereka yang membesar dalam era kepimpinan pasangan tersebut.
“Saya rasa kita memang umpama anak didik mereka. Kita berada di bawah naungan mereka dahulu, lama. Kita membesar dalam era itu.
“Kita melihat Tun Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah bukan semata-mata sebagai pemimpin. Kita melihat beliau seperti seorang ayah dan ibu.
“Saya rasa semalam merupakan antara hari yang paling panjang dalam siri-siri hari yang menyedihkan dalam hidup saya,” katanya.
“Jadi, saya berasa sangat berbesar hati kerana pernah mempunyai pengalaman dan detik peribadi bersama beliau. Selain itu, saya juga masih ingat karektor mereka berdua yang tertib dan suka bergurau.
“Ketika saya bertemu Tun semasa persembahan muzikal itu, saya minta mahu bergambar dengannya. berkata, arwah cakap ‘boleh, RM5’. Betapa mereka memang suka bergurau dan tidak mahu kita berasa kekok. Mereka tidak mahu kita merasakan wujudnya jurang antara rakyat dan pembesar,”katanya.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun, semalam. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), sebelum berita pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani.
The post Kenang peribadi Tun Dr Siti Hasmah, arwah bak ‘angel’ – Misha Omar appeared first on Utusan Malaysia.






