
KUALA LUMPUR – Satu rakaman lama Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ketika berbual dengan Bella Astillah kembali tular di Threads, beberapa jam selepas pemergian beliau.
Video berdurasi kira-kira satu minit 39 saat itu dikongsikan oleh pengguna Threads `ask_oui`, yang memaklumkan rakaman berkenaan dibuat ketika sesi latihan bersama Bella di kediaman Tun Dr Siti Hasmah pada tahun lalu.
Dalam perbualan tersebut, Tun Dr Siti Hasmah dilihat berkongsi pandangan mengenai kehidupan berumah tangga dalam suasana santai dan penuh kelembutan, manakala Bella hanya mendengar serta mengangguk ketika Allahyarhamah bercerita berdasarkan pengalaman hidupnya.
“She wasn’t speaking from a book… she was speaking from 70 years of marriage,” tulis pemilik hantaran itu, merujuk kepada pengalaman hampir tujuh dekad Allahyarhamah bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Netizen Tersentuh Dengan Setiap Kata-Kata
Ruangan komen dibanjiri luahan emosi daripada orang ramai yang menyifatkan nasihat Allahyarhamah terasa seperti pesanan seorang ibu kepada anak-anak.
Antara komen yang paling mencuri perhatian berbunyi, “Tp kli ni Tun xlambat. Tun pergi dulu.” Komen itu meraih lebih 200 tanda suka dan mengundang reaksi sebak daripada pengguna lain yang memahami maksud tersirat di sebalik kata-kata tersebut.
Seorang lagi pengguna menulis, “Untungnya Bella Astillah sempat dpt jumpa Allahyarhamah kongsi tip perkahwinan.”
Tidak kurang juga yang mendoakan agar ilmu dan pesanan yang ditinggalkan Allahyarhamah terus menjadi amal berpanjangan. “Terima kasih share… moga pahala mengalir dengan ilmu yg ditinggalkan insyaAllah,” tulis seorang lagi netizen.
Selain itu, ramai menyifatkan tutur kata Tun Dr Siti Hasmah begitu lembut sehingga terasa seperti seorang ibu sedang memberikan pesanan kepada anak-anaknya.
Kenangan Yang Kini Lebih Bermakna
Selepas pemergian Tun Dr Siti Hasmah, ramai melihat rakaman tersebut bukan lagi sekadar sesi latihan biasa, tetapi sebagai warisan kata-kata penuh hikmah yang lahir daripada pengalaman hidup dan perkahwinan hampir 70 tahun.
Perkongsian itu terus meraih ratusan ribu tontonan di Threads, dengan ramai mengakui sukar menahan sebak apabila mendengar semula tutur kata Allahyarhamah yang disifatkan tenang, lembut dan penuh kasih sayang. – The Malaysian Update
The post Nasihat Tun Dr Siti Hasmah Kepada Bella Astillah Kini Buat Ramai Sebak, “Bukan Datang Dari Buku, Tapi 70 Tahun Perkahwinan” appeared first on The Malaysian Update.






