Kenanga Research jangka Supermax terus berdepan landskap perniagaan mencabar akibat kos yang tinggi
azan
19/05/2023 - 16:28
KUALA LUMPUR 19 Mei - Supermax Corporation Berhad dijangka terus berdepan landskap perniagaan yang mencabar dan berdaya saing berikutan kos yang tinggi, harga jualan yang lemah dan kapasiti besar yang membawa kepada penggunaan loji yang rendah, kata Kenanga Research.
Firma itu mengunjurkan bahawa keadaan lebihan kapasiti industri sarung tangan getah akan berterusan sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi.
“Berdasarkan anggaran kami, situasi permintaan-bekalan hanya akan mula menuju ke arah keseimbangan pada 2025, apabila hampir tiada lagi kapasiti baharu yang akan datang, manakala permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun, disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM39.92 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3QFY23) berbanding keuntungan bersih RM13.01 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
Firma itu menyatakan bahawa kapasiti dilihat terus berkembang pada 2023, sekali gus mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada tahun ini.
“Bagaimanapun, ia tidak banyak membantu untuk mengurangkan keadaan lebihan kapasiti, kerana kapasiti pengeluaran sarung tangan global akan berkembang sebanyak 16% kepada 595 bilion keping pada tahun ini," katanya.
Firma itu berkata, ia akan menyebabkan lebihan kapasiti sarung tangan meningkat sebanyak 22% kepada 137 bilion keping, daripada 112 bilion keping pada tahun lalu.
“Lebihan kapasiti yang diperluaskan bermakna harga rendah dan penggunaan loji yang tertekan mungkin akan berterusan pada tahun ini,” katanya.
Firma itu mengekalkan unjuran bahawa kumpulan itu akan terus rugi pada FY24 dan mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 70 sen sesaham. - DagangNews.com

