Margin keuntungan Berjaya Food akan terus terkesan akibat inflasi, kata CGS-CIMB
azan
19/05/2023 - 10:36
KUALA LUMPUR 19 Mei - CGS-CIMB Research menjangkakan tekanan margin keuntungan Berjaya Food Berhad tidak akan berkurangan dalam jangka masa sederhana disebabkan oleh inflasi.
Firma itu berkata, keadaan itu akan meybabkan kos input kekal selain perbelanjaan operasi meningkat.
Firma itu juga mengurangkan unjuran pendapatan sesaham bagi FY23-FY25 antara 10.9% hingga 15.3% akibat tekanan margin keuntungan dan peningkatan kos.
"Melangkah ke hadapan, kami melihat potensi kelembapan permintaan untuk produknya akibat persaingan yang semakin meningkat dalam landskap peruncit kopi domestik dan tekanan inflasi yang tinggi yang menyekat perbelanjaan mengikut budi bicara pengguna.
"Kami percaya kenaikan harga selanjutnya mungkin berlaku akibat persekitaran operasi yang sukar dan mereka sudah menaikkan harga pada Disember 2022, apa-apa kenaikan boleh mengakibatkan perbelanjaan jumlah jualan.
"Sementara itu, kami berpendapat bahawa pihak pengurusan kekal komited untuk membuka 14 kedai Starbucks baharu pada 4QFY23 dan 40-45 kedai pada FY24F untuk memacu pertumbuhan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih turun kira-kira separuh kepada RM15.94 juta 3QFY23 daripada RM31.58 juta setahun lalu.
Syarikat itu berkata, ia disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi dan mampatan margin keuntungan yang disebabkan oleh tekanan inflasi.
Bagaimanapun, kumpulan itu melaporkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM265.85 juta pada 3QFY23 daripada RM246 juta pada suku tahun lalu disebabkan pembukaan kafe Starbucks tambahan pada suku yang ditinjau.
Firma itu menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'kurang' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 70 sen. - DagangNews.com

