Kenanga Research semak naik penarafan sektor uitliti kepada 'overweight'

Business & Finance
5 Jul 2023 • 11:04 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenanga Research semak naik penarafan sektor uitliti kepada 'overweight'

azan

05/07/2023 - 11:04

KUALA LUMPUR 5 Julai - Kenanga Research menyemak naik penarafan sektor utiliti kepada 'overweight' selepas menyemak naik penarafan Tenaga Nasional Berhad kepada 'overweight' dengan harga sasaran (TP) RM10.64 sesaham.

Firma itu menyukai sektor itu kerana memiliki pendapatan berdaya tahan dan hasil dividen positif antara 4% hingga 6%.

Katanya, pendapatan mereka disokong oleh model asas aset terkawal yang menawarkan dividen berulang.

Firma itu mengunjurkan pertumbuhan permintaan elektrik sebanyak 1.8% pada 2023, yang lebih tinggi berbanding pertumbuhan sebanyak 1.7% di bawah Tempoh Kawal Selia 2022-2024 (RP3).

Katanya, peningkatan permintaan akan didorong sebahagian besarnya oleh pemulihan dalam sektor perindustrian di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, kos bahan api, kedua-dua harga arang batu dan gas berada dalam aliran rendah sejak awal tahun ini selepas rali cemerlang pada 2022 akibat krisis tenaga global yang dicetuskan oleh perang Rusia-Ukraine.

“Harga bahan api yang rendah baru-baru ini adalah positif kepada TNB dan Petronas Gas Berhad (Market Perform; TP: RM17.13) tetapi negatif untuk Gas Malaysia Berhad (Market Perform; TP: RM3.54) kerana harga gas yang lebih rendah menghakis margin runcit.

“Namun begitu, impak pendapatan adalah neutral dalam jangka panjang memandangkan mekanisme lulus kos bahan api.

“Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah YTL Power International Berhad (Outperform; TP: RM1.48) untuk prospek menjanjikan PowerSeraya, pendapatan defensif Wessex dan pusat data baharu yang menarik serta usaha niaga perbankan digital,” katanya. - DagangNews.com