HLIB kekal ‘overweight’ terhadap sektor penerbangan dengan jangkaan industri terus pulih pada separuh kedua 2023

Business & Finance
4 Jul 2023 • 12:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HLIB kekal ‘overweight’ terhadap sektor penerbangan dengan jangkaan industri terus pulih pada separuh kedua 2023

diyana

04/07/2023 - 12:39

KUALA LUMPUR 4 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor penerbangan berdasarkan jangkaan pemulihan perjalanan udara yang berterusan pada separuh kedua 2023 (2H23).

Firma penyelidikan itu berkata demikian memandangkan kapasiti syarikat penerbangan kembali semula kepada tahap sebelum pandemik.

“Perjalanan udara telah pulih dengan ketara sejak kelonggaran sempadan Malaysia pada April tahun lalu, dengan syarikat penerbangan melaporkan prestasi yang bertambah baik bagi suku-suku terdahulu berikutan trafik udara yang lebih kukuh,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut HLIB, saranan ‘beli’ bagi saham Capital A Bhd disebabkan prospek perjalanan udara Asia-Pasifik bertambah baik, manakala Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kerana menjadi penerima manfaat utama daripada pemulihan dalam perjalanan udara.

"MAHB berkata kadar pemulihan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan yang dirancang akan kekal melebihi 90% untuk domestik (kini 94.3%) dan melangkaui 80% (kini 76.4%) untuk segmen antarabangsa menjelang akhir tahun," katanya.

Firma itu menambah bahawa MAHB akan menerima 100% daripada kadar sewa komersial memandangkan trafik (mengikut tempoh 12 bulan) pulih kepada 70% daripada tahap sebelum pandemik.

Di samping itu, HLIB berkata pemulihan Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISGA) pada keuntungan dan susut nilai ringgit berbanding euro juga memberi manfaat kepada MAHB memandangkan keuntungan daripada lapangan terbang itu didenominasikan dalam euro.

Dari segi kecairan, HLIB berkata kedudukan kunci kira-kira MAHB kekal sihat dengan ekuiti pemegang saham RM6.1 bilion, tunai RM1.5 bilion, hutang jangka pendek RM700 juta dan liabiliti pajakan jangka pendek RM33.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23).

Sementara itu, Capital A mencatat peningkatan bilangan penumpang secara beransur-ansur kepada 64.7% daripada tahap sebelum pandemik pada 1QFY23, di mana kapasiti penerbangan kembali penuh pada 3QFY23, serta pertumbuhan dari FY24 dan seterusnya.

Tambahnya, kunci kira-kira Capital A kekal tertekan dengan ekuiti pemegang saham negatif sebanyak RM5.6 bilion, tunai RM589.6 juta, paras hutang jangka pendek RM513.6 juta dan liabiliti pajakan jangka pendek RM4.4 bilion.

“Namun begitu, Capital A telah menerima pendapat audit selepas berjaya meyakinkan juruaudit tentang keupayaan kumpulan untuk kekal sebagai usaha berterusan untuk masa hadapan. Pihak pengurusan juga memberi jaminan bahawa rancangan penyusunan PN17 berada di landasan yang betul, tanpa memerlukan pencairan modal atau peningkatan ekuiti,” jelasnya.

HLIB menetapkan harga sasaran (TP) RM1.15 untuk Capital A dan TP RM8.50 untuk MAHB. - DagangNews.com