Kenanga Research unjur OPR kekal pada paras 3% hingga hujung tahun
azan
09/06/2023 - 11:55
KUALA LUMPUR 9 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan besar mengekalkan kadar dasar semalanan (OPR) pada paras 3% sehingga akhir 2023.
Kenanga Research berkata, pada masa sama, inflasi teras dan utama juga dijangka menurun dalam beberapa bulan akan datang.
"Kami percaya bahawa mengekalkan tahap OPR ini mencapai keseimbangan yang sesuai antara menggalakkan pertumbuhan dan menguruskan inflasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu mengunjurkan bahawa kadar tukaran ringgit Malaysia kepada dolar Amerika Syarikat (AS) pada hujung tahun ini berada pada paras 4.11 berbanding 4.40 pada tahun lalu.
Katanya, walaupun ringgit mungkin terus didagangkan di atas paras 4.60 pada hari-hari akan datang, firma itu mengekalkan prospek neutral untuk mata wang tempatan pada separuh kedua 2023.
"Ringgit bersedia untuk mendapat manfaat daripada potensi kenaikan yuan kerana pemulihan China dijangka mendapat daya tarikan pada masa hadapan.
"Selain itu, apabila pertumbuhan ekonomi AS semakin perlahan, mungkin terdapat penurunan dalam permintaan untuk dolar AS, yang akan memanfaatkan mata wang tempatan," katanya. - DagangNews.com

