Kenanga Research yakin terhadap prospek Sunway Construction disokong peluangnya meraih projek infrastruktur mega

Business & Finance
14 Jun 2023 • 10:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenanga Research yakin terhadap prospek Sunway Construction disokong peluangnya meraih projek infrastruktur mega

diyana

14/06/2023 - 10:59

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kenanga Research yakin terhadap prospek Sunway Construction Group Berhad, disokong oleh peluangnya dalam pelbagai projek infrastruktur mega dan projek dalaman daripada syarikat induk, Sunway.

Menurut firma penyelidikan itu, Sunway Construction telah membida untuk pakej kerja Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor dan pelbagai pusat data serta kerja-kerja pemasangan dan pengubahsuaian hartanah Sunway.

Kumpulan itu juga telah melanjutkan tempoh sah tender MRT3, manakala kerja pembinaan loji jana kuasa arang batu RM6 bilion di Vietnam semakin kukuh dengan penutupan kewangan projek itu dilihat baik, kata firma itu.

Tambahnya, kumpulan tersebut telah memperoleh pekerjaan baharu bernilai RM1.3 bilion setakat ini dan berada dalam landasan untuk memenuhi andaian firma dan sasaran dalaman kumpulan bagi tahun ini sebanyak RM2 bilion.

“Ia mempunyai buku tender sihat bernilai RM22.7 bilion, dengan projek-projek terkenal termasuk MRT3 (pakej CMC01, CMC02), pelbagai pakej untuk pusat data, kerja gudang dan lain-lain.

“Di samping itu, ia menjangka untuk mendapat projek pihak berkaitan daripada Sunway, seperti kerja pemasangan selanjutnya untuk Sunway Medical Damansara, dan pengubahsuaian untuk Sunway Pyramid dan Sunway Carnival Mall, yang setiap satu bernilai RM100 hingga 200 juta,” katanya dalam nota hari ini.

Mengulas mengenai pembidaan CIQ, firma itu berkata kumpulan itu membida pakej tambahan berkaitan projek Sistem Transit Rapid (RTS) melibatkan kompleks itu dan struktur sekitarnya bernilai kira-kira RM800 juta hingga RM1 bilion, yang dijangka menawarkan margin menarik berikutan tarikh akhir penyiapan yang ketat menjelang 2026.

Sementara itu, loji pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) baharunya di Singapura yang memenuhi keperluan pembangunan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) negara itu telah beroperasi sejak Januari 2023 dandisasarkan mencapai pulangan modal menjelang akhir tahun melalui usaha peningkatan dan pengoptimuman kos.

Menurut Kenanga Research, kumpulan itu mengekalkan panduannya untuk margin EBIT sebanyak 5 hingga 8%, manakala dari segi kekuatan kunci kira-kira, ia bertukar hutang bersih dengan penggearan bersih 0.07 kali pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23).

“Ini disebabkan terutamanya oleh kemajuan yang dicapai dalam projek RM823 juta di India, yang melibatkan pembayaran tetap dalam tempoh 15 tahun selepas siap. Selain itu, bayaran untuk dua projek LSS4nya hanya perlu dibayar enam bulan selepas penyerahan,” tambahnya.

Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) pada RM2.13 sesaham.

Setakat pukul 10:54 pagi ini, saham Sunway Construction susut 1 sen atau 0.6% kepada RM1.60 dengan permodalan pasaran berjumlah RM2.07 bilion. -DagangNews.com