Kenapa ayam dan telur mahal di Sabah, ini jawapan Jamawi...

LocalBusiness & Finance
17 Apr 2026 • 6:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kenapa ayam dan telur mahal di Sabah, ini jawapan Jamawi...
Jamawi ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Kupi-Kupi Bersama Media di Waterfront Todak, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Kebergantungan tinggi terhadap makanan ternakan yang diimport dikenal pasti sebagai punca utama harga ayam dan telur lebih mahal di Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Sabah masih bergantung hampir sepenuhnya kepada bekalan makanan haiwan dari luar, sekali gus menyebabkan sebarang kenaikan kos logistik memberi kesan terus kepada harga pasaran tempatan.

Menurutnya, sebanyak 98 peratus makanan haiwan di Sabah ketika ini diperoleh melalui import.

"Apabila kos pengangkutan kapal meningkat, maka harga bahan import turut naik dan keadaan itu memberi kesan kepada kos penternakan serta harga ayam dan telur di pasaran.

"Sebab itu kita tidak boleh sekadar bercakap soal menurunkan harga ayam, sedangkan kos makanan ternakan masih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kupi-Kupi Bersama Media di Waterfront Todak, di sini, pada Jumaat.

Jamawi sebelum itu diminta mengulas pertikaian warga maya berhubung pengekalan harga diesel di Sabah yang didakwa selari dengan harga barang keperluan di negeri ini, termasuk ayam dan telur mahal.

Mengulas mengenai telur premium seperti telur Omega yang dijual pada harga lebih tinggi di pasaran, beliau berkata keadaan itu dipengaruhi oleh jenis dan kualiti makanan yang diberikan kepada ayam penelur.

"Kalau makanan itu tinggi proteinnya dan kandungan Omeganya tinggi, maka ayam itu akan mengeluarkan telur Omega. Jadi, ia bergantung kepada kualiti makanan yang kita berikan kepada ayam tersebut.

"Apabila kualiti makanan itu meningkat harganya, maka telur yang dihasilkan juga akan setanding dengan kualiti makanan berkenaan," katanya.

Jamawi berkata, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import, kementeriannya tahun ini menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 1,000 ekar ladang jagung sebagai sumber makanan ternakan ayam.

Katanya, usaha itu turut mendapat sokongan kerajaan Persekutuan menerusi peruntukan RM25 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

"Saya telah beriltizam tahun ini untuk membuka sekurang-kurangnya 1,000 ekar ladang jagung bagi makanan ternakan ayam dan kita sudah menerima peruntukan RM25 juta daripada KPKM Putrajaya.

"Selain itu, kita turut menggerakkan program mentor-mentee bagi menghasilkan makanan ayam menggunakan bahan buangan sisa makanan dapur. Yang penting kandungan proteinnya mencukupi supaya ayam boleh bertelur," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa beliau sendiri menternak kira-kira 200 ekor ayam penelur dan 100 ekor ayam daging di rumah sebagai contoh galakan kepada masyarakat untuk menceburi sektor penternakan kecil-kecilan serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan pasaran.