Kenapa berbuka puasa di tanah kubur?

18 Apr 2023 • 1:00 PM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

image is not available

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini tular mengenai penduduk kampung mengadakan majlis berbuka puasa di tanah perkuburan dengan tujuan bagi mengeratkan silaturahim sesama saudara dan memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Namun apakah hukum makan di kawasan perkuburan?

image is not available
Kredit foto Pasir Puteh Today

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan amalan salafus soleh, kubur bukan tempat makan.

Dengan sebab itu, apabila menekuni adab-adab ziarah kubur, maka tidak terdapat sebarang anjuran makan tetapi penuh dengan doa serta tertib.

Sebagaimana tradisi orang Melayu, khususnya di kampung, mereka membina bangsal atau wakaf, bukan di atas kubur tetapi pada tanah perkuburan yang belum digunakan lagi untuk berteduh atau berehat di samping berkumpul menunggu saudara mara yang datang bagi menziarah kubur.

Dalam hal ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat hukumnya harus dengan syarat meraikan adab-adab kubur sekalipun mereka berhampiran dengan kubur.

image is not available
Mufti Kelantan, Datuk Haji Mohamad Shukri Mohamad

Selain itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan tindakan berbuka puasa di pekarangan tanah perkuburan kurang sesuai untuk dilakukan.

Hal ini kerana bimbang akan tindakan yang dilakukan boleh menimbulkan pelanggaran adab-adab dan akhlak semasa berada di kawasan berkenaan.

Jadi amalan ziarah kubur adalah sunat namun tidak dibenarkan untuk makan di kawasan kubur bagi mengelakkan pelanggaran adab serta akhlak ketika berada di kawasan kubur.

Daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمْ الْآخِرَةَ

Maksudnya: “Ziarahlah kubur kerana ia dapat mengingatkan kamu kepada akhirat.”

Riwayat Ibnu Majah (1558), Imam Ahmad (3/179)
dan Sahih al-Jami’ al-Saghir (7829)