‘Kenapa Cukai Vape Tak Disentuh Dalam Belanjawan 2026?’ - Teresa

LocalPolitics
16 Oct 2025 • 7:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Tindakan kerajaan yang tidak menyentuh aspek percukaian ke atas produk berkaitan vape dalam Belanjawan 2026 menimbulkan persoalan, memandangkan penggunaan alat itu semakin meluas di negara ini.

Membangkitkan isu tersebut, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata,  penggunaan vape sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, justeru cukai produk terbabit wajar dinaikkan. 

“Kerajaan menaikkan cukai terhadap rokok dan produk tembakau, tetapi tidak menyentuh langsung mengenai vape. 

“Mengapa tidak ada langkah sama terhadap produk ini, sedangkan isu vape semakin serius di negara kita,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat. 

image is not available
Teresa Kok - Gambar fail

Jelas Teresa, industri pembuatan produk vape semakin aktif di Malaysia, malah ia tampil sebagai antara bahan eksport utama ke negara jiran. 

“Mengikut data Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), nilai industri vape tempatan dianggarkan berjumlah RM3.48 bilion pada 2023, peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding RM2.27 bilion pada 2019.

“Sekiranya kerajaan mengambil keputusan melarang vape sepenuhnya, ia akan memberi kesan besar kepada pengusaha industri dan mengurangkan hasil cukai negara,” katanya.

Beliau menarik perhatian, larangan total tidak akan membantu menghentikan penggunaan vape, sebaliknya tindakan itu hanya menggalakkan penyeludupan serta mengukuhkan penjualan vape di pasaran gelap.

“Dari sudut kesihatan,  saya melihat vape juga boleh digunakan sebagai alternatif bagi perokok tegar yang ingin berhenti merokok.

“Vape dengan kandungan nikotin rendah boleh membantu perokok beralih secara berperingkat sebelum berhenti sepenuhnya,” katanya.

Teresa berkata, kerajaan seharusnya melaksanakan terlebih dahulu kawalan ketat ke atas industri vape sebelum bertindak melarang penggunaan alat itu. 

“Kerajaan tidak harus bertindak terburu-buru. Kawalan ketat lebih berkesan daripada larangan penuh,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pengharaman hanya dibuat terhadap vape jenis ‘open system’ yang boleh digunakan untuk mencampur bahan terlarang seperti dadah tertentu.

“Vape jenis ini menjadi tarikan utama kepada golongan muda kerana boleh diubah suai dan menghasilkan pelbagai perisa.

“Saya sarankan kerajaan hanya membenarkan penjualan vape dari jenis ‘closed system’ kerana produk ini dikawal terus oleh pengilang atau pengimport berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dengan pemantauan kualiti bersama SIRIM,” katanya. - Getaran, 16 Oktober 2025