Kenapa Hari Sabah penting: Ketua Menteri

LocalPolitics
18 Aug 2024 • 1:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan sambutan serentak Hari Sabah dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini sebagai langkah kerajaan mengukuhkan institusi kenegaraan.

Dalam temu bual khas sempena Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia 2024, Hajiji berkata, 61 tahun selepas penubuhan Malaysia, buat julung kalinya Sabah akan meraikan hari bersejarah selepas kerajaan negeri bersetuju mewartakan sambutan Hari Sabah awal tahun ini.

“Hari Sabah merupakan satu hari yang paling bersejarah bagi negeri ini kerana pada tarikh tersebut sepatutnya Sabah sudah bersama-sama menubuhkan kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun Sabah mencapai kebebasan memerintah sendiri daripada kerajaan British pada 31 Ogos, isu teknikal melambatkan pembentukan Malaysia selama 16 hari.

SPONSORED CONTENT Hajiji says young business professionals' inputs needed to develop Sabah Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said he welcomed inputs from young business professionals to assist in policy formulation. Read more “Sebenarnya, 31 Ogos itu kita sudah diberi kebebasan memerintah sendiri oleh penjajah ketika itu kerajaan British, tetapi kerana ada beberapa masalah teknikal maka kita menunggu 16 hari kemudian untuk dapat menubuhkan kerajaan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan sambutan tersebut, beliau berkata, perkara itu turut dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendapat dukungan penuh daripada kerajaan persekutuan.

“Hari Sabah mesti kita raikan supaya rakyat mengingati sejarah ini dan saya telah maklumkan Perdana Menteri mengenai perkara ini, jadi beliau menyatakan kita tiada masalah.

“Lebih baik tarikh bersejarah ini jangan hanya terbuku di hati rakyat Sabah...lebih baik kita raikan bersama kerana bagi saya, langkah ini boleh mengukuhkan institusi kenegaraan Malaysia.”

Hajiji berkata, meraikan tarikh bersejarah Hari Sabah bersama Hari Kebangsaan bukan bertujuan menggantikannya, tetapi untuk meningkatkan perpaduan negara.

“Inilah tujuannya kita meraikan tarikh bersejarah Hari Sabah bersama dengan Hari Kebangsaan, ia bukanlah untuk menggantikan hari kebangsaan tetapi untuk kita sama-sama memeriahkan sambutan.

“Saya juga beritahu rakan-rakan dalam kabinet bahawa kita mesti mengutamakan kepentingan negara, jadi kita raikan bersama. Tiada isu atau tujuan lain-lain, itu tidak boleh,” dedah beliau.

Mengenai persiapan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September depan, Hajiji memaklumkan, persiapan tersebut melibatkan beberapa agensi persekutuan dan negeri menerusi mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

“Pada tahun ini, Sabah akan menjadi tuan rumah merayakan Hari Malaysia setelah tahun lepas diadakan di Kuching Sarawak.

“Bagi saya, Hari Malaysia ini cukup bersejarah dan mesti diraikan kerana pada tarikh inilah negara kita ditubuhkan.

“Jadi, selain daripada Hari Kebangsaan, Hari Malaysia mesti diraikan oleh rakyat sama ada di Sabah, Sarawak dan di Semenanjung...kita kena bagi keutamaan kepada Hari Malaysia,” jelasnya.

Malaysia pada asalnya sepatutnya ditubuhkan pada 31 Ogos 1963 – bertepatan dengan kemerdekaan Tanah Melayu – tetapi terpaksa ditangguhkan ke 16 September apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan untuk menghantar misi mencari fakta susulan bantahan oleh Indonesia dan Filipina pada detik terakhir.

Pentadbiran kolonial British, bagaimanapun, memutuskan untuk mengekalkan tarikh asal pembentukan tersebut, seperti yang dipersetujui semasa perbincangan, yang membawa kepada Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) diberikan pemerintahan sendiri sebelum pembentukan Malaysia. Singapura keluar dari persekutuan itu pada 1965.

Ketiga-tiga rakan kongsi itu memutuskan untuk meneruskan pengisytiharan pemerintahan sendiri walaupun dinasihatkan oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman supaya bersabar dan menunggu penemuan rasmi PBB.

Hadir sama pada temubual terbabit ialah Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia 2024; Ketua Biro Bernama Sabah, Fadzli Ramli dan Ketua Penyunting Berita Ehwal Semasa RTM Sabah, Miriam Ajem.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.