Anekdot Mawarith07/10/2026 - 07:00 Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com Apabila seorang ayah meninggal dunia dengan meninggalkan anak-anak di bawah umur 18 tahun, ada dua isu penjagaan yang akan timbul iaitu penjagaan diri anak dan penjagaan hartanya.
Ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak tahu malah keliru antara hak penjagaan diri anak dengan hak penjagaan harta anak. Ini ialah dua perkara yang berbeza.
Hak penjagaan diri anak merujuk kepada siapakah yang akan menjaga anak itu dari sudut penjagaan fizikal dirinya.
Dalam undang-undang Syariah, hak penjagaan diri anak diberikan keutamaan kepada ibu dan susur galur keluarga sebelah ibu.
Bagi hak penjagaan harta anak pula, keutamaan diberikan kepada bapa yang merupakan penjaga harta hakiki untuk anak dan susur galur keluarganya.
Dalam keadaan tertentu, ada juga situasi apabila penjaga diri anak dan penjaga harta anak ialah orang yang sama.
Penjagaan harta anak bawah umur
Bagi anak yang berumur melebihi 18 tahun, selepas selesai urusan harta pusaka sama ada di Pejabat Pusaka Kecil mahupun di Mahkamah Tinggi Sivil, hak faraidnya akan terus didaftarkan atas namanya bagi hartanah.
Wang tunai daripada harta pusaka si mati seperti akaun bank, pelaburan di ASNB dan lain-lain pula akan diserahkan kepadanya sebagai pemunya baharu oleh pentadbir harta.
Bagaimana pula kedudukan anak di bawah umur 18 tahun?
Bagi anak di bawah umur 18 tahun, hartanah tidak boleh didaftarkan atas namanya dan wang tunai juga tidak boleh diserahkan terus kerana anak ini tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk menguasai harta.
Jadi, apakah peruntukan yang tepat mengikut undang-undang Syariah di Malaysia mengenai keutamaan penjaga harta?
Semua negeri memperuntukkan kaedah ini dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing. Di Wilayah Persekutuan, ia diperuntukkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam walaupun terdapat perbezaan dari segi nombor seksyennya.
Ibu bukan penjaga harta secara automatik
Contohnya di Pahang, Seksyen 89(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005 (Pahang) menetapkan bahawa bapa ialah penjaga hakiki pertama dan utama bagi diri serta harta anaknya yang belum dewasa walaupun hak hadhanah atau jagaan anak berada pada orang lain.
Apabila bapa meninggal dunia, keutamaan penjagaan beralih mengikut susunan kepada datuk lelaki sebelah bapa, wasi yang dilantik menurut wasiat bapa, wasi kepada wasi bapa, wasi datuk lelaki sebelah bapa dan akhirnya wasi kepada wasi datuk tersebut dengan syarat penjaga itu beragama Islam, dewasa, siuman dan boleh dipercayai.
Oleh itu, ibu yang secara hakikinya mendapat hak penjagaan diri anak tidak secara automatik mempunyai kuasa untuk mengurus harta anak.
Bagaimanapun, Seksyen 92 menyediakan laluan bagi ibu beragama Islam untuk dilantik sebagai wasi bapa melalui wasiat atau jika tiada penjaga harta di sisi undang-undang, sebagai penjaga oleh mahkamah.
Peruntukan dengan seksyen yang sama iaitu Seksyen 89 di Selangor, Sabah, Kelantan dan Perlis juga menyamai Seksyen 89 Pahang manakala di Wilayah Persekutuan, Seksyen 88 memperincikan kaedah ini.
Kesimpulannya, di semua negeri, ibu bukanlah penjaga harta secara automatik bagi anak di bawah umur 18 tahun. Walaupun begitu, ibu masih berpeluang menjadi penjaga harta anak melalui Seksyen 92.
Apa kesannya kepada ibu?
Apakah signifikan peruntukan undang-undang ini yang mungkin tidak diketahui oleh ibu?
Signifikannya ialah apa sahaja harta yang menjadi hak anak ini sama ada diperoleh daripada harta pusaka ayah atau datuknya ataupun apa-apa bentuk harta yang diperoleh daripada sumber lain, susunan keutamaan dalam seksyen yang saya huraikan di atas akan terpakai.
Ibu tiada dalam susunan ini.
Bayangkan bagaimana ibu kandung akan berdepan cabaran membesarkan anak dalam keadaan semua harta anak dijaga oleh orang lain?
Ada kemungkinan yang sangat besar bahawa orang yang disenaraikan itu tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibu ataupun mungkin langsung tidak dikenali oleh ibu.
Mengapa selama ini isu ini tidak dibangkitkan?
Saya bukanlah orang pertama yang membangkitkan isu ini. Peruntukan undang-undang mengenai perkara ini sudah lama wujud. Mengapa selama ini isu penjaga harta tidak pernah disentuh dan kelihatannya seolah-olah ibu secara automatik menjadi penjaga harta?
Pelantikan ibu sebagai pemegang amanah
Sebenarnya, pelantikan ibu sebagai penjaga harta anak lebih cenderung kepada budi bicara Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.
Di Pejabat Pusaka Kecil, jika anak itu mewarisi harta pusaka bapanya yang berbentuk hartanah, kebiasaannya pegawai pusaka akan melantik si ibu sebagai ‘pemegang amanah’ — kapasiti fidusiari yang hampir sama dengan penjaga harta — bagi memegang bahagian anak bawah umur tersebut.
Bagi harta alih seperti wang tunai pula, Pejabat Pusaka Kecil mempunyai dua pilihan iaitu melantik Amanah Raya Berhad atau Majlis Agama Islam Negeri berdasarkan pindaan Akta Pembahagian Pusaka Kecil yang diwartakan pada 25 Januari 2022 dan berkuat kuasa pada 15 Julai 2024.
Bagi kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil pula, permohonan boleh dibuat supaya mahkamah melantik ibu sebagai pemegang amanah bagi keseluruhan harta anak di bawah umur 18 tahun dan mengetepikan Amanah Raya Berhad atau Majlis Agama Islam Negeri.
Bagaimana kedudukan penjaga harta?
Jika bapa kandung atau mana-mana pihak dalam seksyen yang saya sebutkan sebelum ini membuat tuntutan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan hak mereka sebagai penjaga harta anak dan perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah yang mengesahkan kedudukan mereka, maka pada pandangan peribadi saya dan setakat pengetahuan saya, Pejabat Pusaka Kecil mahupun Mahkamah Tinggi Sivil mesti mematuhi perintah Mahkamah Syariah tersebut.
Prinsip ini berkaitan dengan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil.
Bagi penjagaan harta anak, oleh sebab perkara itu telah disebut dengan jelas dalam peruntukan negeri-negeri di seluruh Malaysia, maka ia jelas berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Bagaimana memastikan ibu menjadi penjaga harta?
Persoalan lebih serius selepas ini ialah bagaimana ibu boleh memastikan dia menjadi penjaga harta yang sah untuk anak?
Situasi ini memang kritikal kerana jika anak dijaga oleh ibu manakala harta milik anak itu dijaga pula oleh datuknya iaitu bapa kepada si bapa, bayangkan kerumitan yang bakal timbul apabila wujud sebarang keperluan kewangan anak tersebut.
Saya pernah berdepan dengan kes apabila ibu yang membesarkan anak itu diminta oleh datuknya untuk mengemukakan resit perbelanjaan bagi menuntut hak anaknya yang dipegang oleh datuk.
Konsep ‘pay and claim’ ini sangat rumit dan berisiko tinggi mencetuskan perbalahan.
Keadaan akan menjadi lebih buruk jika datuk itu mencampurkan wang hak anak yatim tersebut ke dalam akaun peribadinya.
Hanya dia yang mengetahui secara tepat jumlah terkini wang milik anak yatim itu. Apabila datuk meninggal dunia, akaun peribadinya akan menjadi harta pusaka yang turut berhak dituntut oleh waris-warisnya.
Bayangkan kesukaran yang akan timbul.
Jadi apakah jalan keluarnya?
Cerita ini sebenarnya sangat panjang dan rumit.
Kalau hendak tahu jalan keluarnya, sila baca artikel saya minggu hadapan.
Isu ini juga akan dikupas dalam Seminar Mal Syariah anjuran Wasiyyah pada 31 Oktober 2026. - DagangNews.com


![[VIDEO] Wanita kahwini semula bekas suami terlantar sakit](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-05-at-5.04.04-PM-1024x768.jpeg)

