KUANTAN – Insiden tujuh ekor anjing jalanan mati dipercayai diracun di Paloh Hinai, Pekan pada Isnin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pencinta haiwan.
Pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP), Jurina Abdul Rani berkata, haiwan tersebut tidak sepatutnya menjadi sasaran sehingga ada pihak bertindak menggunakan cara kejam bagi menghapuskan haiwan berkenaan.
Beliau dengan tegas mengecam perbuatan kejam ini tidak berperikemanusiaan itu dan menganggap ia bukan insiden terpencil.
“Kenapa mesti racun? Perlukah sampai begitu sekali kebencian terhadap haiwan yang tidak berdaya sehingga jalan singkat diambil dengan meracun mereka?.
"Kes meracun anjing jalanan bukanlah perkara baharu tetapi ia sebenarnya sering berlaku, cuma jarang diketengahkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menceritakan kejadian itu, beliau berkata, seorang penduduk di Paloh Hinai memaklumkan anjing-anjing di kawasan rumahnya kerap menjadi mangsa racun.
Ujarnya, lebih menyedihkan apabila haiwan tersebut ditinggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Mungkin disebabkan tidak senang sesetengah jiran dan ambil jalan mudah dengan meracun dengan mencampurkan bahan berbahaya ke dalam makanan.
"Akibat itu tujuh ekor anjing jagaan beliau diracun setakat ini dan saya bangkit perkara ini kerana ia bukan sekadar isu haiwan tapi ia soal kemanusiaan," jelas beliau lagi.
Jurina menambah, kebanyakan kes penganiayaan haiwan jalanan sukar diselesaikan kerana kekurangan bukti kukuh, sekali gus menyebabkan pelaku terlepas daripada tindakan undang-undang dan kejadian sama terus berulang.
Beliau turut menegaskan isu lambakan anjing jalanan bukan berpunca daripada haiwan itu sendiri, sebaliknya akibat sikap tidak bertanggungjawab manusia termasuk penggunaan haiwan sebagai pengawal sementara di tapak projek.
Katanya, terdapat kes haiwan tersebut ditinggalkan tanpa penjagaan selepas projek siap, selain tidak diberikan vaksinasi dan pemandulan sehingga membiak tanpa kawalan.
“Keadaan ini akhirnya menyebabkan haiwan dianggap gangguan kepada masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, SKJP menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) memperketatkan peraturan berkaitan penggunaan haiwan oleh pengusaha projek termasuk mewajibkan pendaftaran, kawalan kebajikan serta tanggungjawab terhadap haiwan selepas projek tamat.
Dalam masa sama, beliau berharap Akta Kebajikan Haiwan dapat diperluas penyampaiannya melalui pelbagai platform media bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
Tegasnya, haiwan bukan musuh sebaliknya makhluk yang dicipta dengan tujuan.
"Haiwan punya rasa takut, lapar dan sakit seperti kita. Jika kita tidak mampu menyayangi, sekurang-kurangnya jangan menyakiti," luahnya.

