Kenapa RTM Hentikan Semua Siaran Di Astro Selepas Hampir 30 Tahun? Ini Sebabnya

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 11:55 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kenapa RTM Hentikan Semua Siaran Di Astro Selepas Hampir 30 Tahun? Ini Sebabnya

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (13 Mei) media melaporkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menghentikan perkhidmatan siaran semua salurannya di platform satelit Astro dan platform Over The Top (OTT) kendaliannya bermula 1 Julai ini.

Pengumuman penamatan ini ternyata mencuri perhatian ramai memandangkan RTM dan Astro sudah hampir 30 tahun bekerjasama iaitu sejak tahun 1996.

Malah di media sosial, ada yang tertanya-tanya mengapa RTM membuat keputusan berkenaan.

RTM dan Astro sukar capai persetujuan harga dan kontrak

RTM menerusi satu pekeliling bertarikh 11 Mei berkata, pihaknya dan Astro ketika ini berdepan kesukaran untuk “mencapai persetujuan harga” dan kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan masing-masing.

“Selepas bertahun-tahun menjalinkan kerjasama dan rundingan berterusan berkaitan kos serta kadar sewaan bagi perkhidmatan ini, adalah sukar ketika ini untuk mencapai persetujuan harga dan kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan kedua-dua pihak.”

RTM

Beban kewangan RTM semakin tinggi disebabkan kos sewaan saluran

Menurut RTM lagi, peningkatan kos sewaan saluran menyebabkan beban kewangan RTM semakin tinggi dan sukar dikawal.

“Apabila kos sewaan saluran terus meningkat dan beban kewangan RTM untuk menyewa saluran ini menjadi semakin berat, adalah lebih wajar untuk kami menamatkan perkhidmatan ini agar tidak terus dibebani kos yang sukar dikawal, kata RTM.

Tambah RTM, rundingan berkaitan kos serta kadar sewaan bagi perkhidmatan penyiaran itu juga telah dijalankan sejak sekian lama, namun ianya belum menemui kata putus.

Sehubungan itu, RTM memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan penyiaran saluran RTM di platform satelit ASTRO dan OTT yang dikendalikannya melibatkan saluran:

  • TV1-HD
  • TV2-HD
  • Okey

Pun begitu RTM memaklumkan bahawa kerjasama dengan Astro melibatkan beberapa penerbitan usaha sama telah memberi impak positif kepada penonton kedua-dua pihak.

RTM dan Astro bekerjasama sejak 1996

Sebagai info RTM dan Astro mula bekerjasama sejak tahun 1996 dengan penyiaran saluran TV1 dan TV2.

Saluran Okey yang sebelum ini dikenali sebagai Muzik Aktif dan TVi pula mula tersiar di platform Astro sejak 2009.

Keadaan ini pasti memberikan kesan jangka pendek kepada pengguna yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan Astro untuk menonton saluran RTM.

Namun ketika ini sudah terdapat banyak kaedah untuk menonton saluran RTM antaranya menerusi RTM Klik, myFreeview, UnifiTV dan banyak lagi.

Untuk rekod, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada 6 Mei mengumumkan pelantikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia.

Jelas beliau ini bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati liputan acara berprestij itu secara inklusif, sah dan menyeluruh.

Pengumuman ini sekaligus mengesahkan Astro bukan penyiar utama bagi Piala Dunia FIFA 2026 selepas memegang rekod selama dua dekad sebagai penyiar kejohanan itu di Malaysia.

Namun Astro kemudiannya mengumumkan sedang mengadakan perbincangan dengan pemegang hak siaran Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia bagi meneroka peluang untuk menyiarkan perlawanan kejohanan itu di platformnya.

Baca Artikel Berkaitan:

Akhirnya RTM & Unifi TV Diumum Sebagai Penyiar Rasmi FIFA World Cup 2026, Astro Bincang Hak Penyiaran