
Kenapa Selat Hormuz Tiada Tol Sebelum Ini Walaupun Ia Laluan Paling Sibuk?
Sejak konflik yang tercetus antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu, Selat Hormuz kembali menjadi perhatian dunia kerana laluan kapal minyak antarabangsa itu juga turut terjejas.
Dalam perkembangan terkini, walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa pada Rabu lalu, namun status mengenai selat itu masih lagi kelihatan samar.
Selain tiga kapal tangki Oman yang melalui selat minggu lalu berhampiran pantai Oman, kebanyakan pelayaran terkini menggunakan laluan yang diluluskan Iran, dengan beberapa kapal dilaporkan telah membayar bayaran tertentu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Khamis memberi amaran kepada Iran supaya tidak mengenakan tol ke atas kapal yang melalui laluan perairan tersebut, walaupun sebelum ini terdapat cadangan bahawa AS boleh mengenakan tol bersama Tehran.
Di sebalik 'kekecohan' ini, timbul persoalan kenapa sebelum ini Selat Hormuz tidak mempunyai tol walaupun ia merupakan antara laluan laut paling sibuk di dunia?
Ini yang anda perlu tahu.

Selat Hormuz laluan antarabangsa
Sebab paling utama Selat Hormuz tidak pernah mempunyai tol kerana ia merupakan laluan air antarabangsa yang digunakan oleh kapal dari pelbagai negara untuk perdagangan global.
Walaupun selat itu dikawal oleh Iran dan Oman, laluan tersebut tetap tertakluk kepada prinsip undang-undang laut antarabangsa seperti United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).
Di bawah undang-undang itu, kapal dari mana-mana negara mempunyai hak yang dikenali sebagai hak laluan transit (transit passage).
Hal ini bermakna, kapal-kapal tersebut boleh melalui selat antarabangsa tanpa halangan atau bayaran tol yang dikenakan secara sewenang-wenangnya.
Negara pesisir juga tidak boleh menyekat atau mengganggu navigasi yang telah ditetapkan.
Peraturan tersebut diwujudkan untuk memastikan laluan penting dunia kekal terbuka kepada semua negara.
Laluan penting kepada ekonomi dunia
Seperti yang diketahui, Selat Hormuz ialah koridor maritim penting antara Iran dan Oman yang menghubungkan Teluk Parsi ke Teluk Oman yang menjadi laluan negara-negara termasuk Arab Saudi, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu untuk mengeksport minyak dan gas.
Iran Umum Laluan Alternatif Selat Hormuz
Selat Hormuz Dikawal Satu Negara Tapi 70 Peratus Lalu Laut Indonesia - Prabowo
Gangguan di selat itu boleh memberi kesan besar kepada ekonomi banyak negara kerana bekalan minyak turut terjejas.
Menurut data tenaga global, kira-kira 20 peratus hingga 21 peratus bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz setiap hari, menjadikannya laluan utama bagi eksport tenaga global.
Justeru, jika tol dikenakan di selat itu, ia berkemungkinan akan menyebabkan kos penghantaran minyak meningkat dan harga minyak dunia naik.

Perkembangan semasa
Berbalik kepada perkembangan semasa, rancangan Iran untuk mengenakan bayaran tol di selat itu tentunya mendapat kritikan masyarakat global.
Kini, masa depan Selat Hormuz bergantung kepada rundingan antara Iran dan AS yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Walaupun Iran tidak meratifikasi UNCLOS, prinsip laluan transit di selat antarabangsa secara umum dianggap sebagai sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa.
Sebarang usaha mengenakan bayaran tol di laluan tersebut berpotensi mencetuskan pertikaian di peringkat antarabangsa.
