Kenapa stadium semakin sunyi?

LocalSports
12 May 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kenapa stadium semakin sunyi?
Perlawanan Kelantan The Real Warriors dan Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat kehadiran tertinggi dengan 6,972 penonton berdasarkan data MFL.

KE manakah hilangnya pemain ke-12 dalam Liga Malaysia (Liga-M)? Persoalan itu semakin kuat kedengaran apabila kehadiran keseluruhan 15,572 penonton bagi enam aksi Liga Super 2025/26.

Jumlah itu mungkin masih mampu memberi gambaran Liga Super berjalan seperti biasa, namun realiti di tempat duduk stadium menceritakan sesuatu.

Ada venue masih bernyawa sorakan dan emosi penyokong, tetapi ada juga tenggelam dalam suasana sunyi sehingga hilang 'rasa' sebuah pertandingan profesional.

Era bola sepak moden, kekuatan liga bukan lagi sekadar diukur melalui jaringan gol, kedudukan liga atau status pasukan, sebaliknya sejauh mana penyokong masih mempunyai emosi hadir, percaya dan merasa mereka sebahagian identiti pasukan.

Di situlah Liga-M kini sedang berdepan cabaran paling besar.

Perlawanan Kelantan The Real Warriors dan Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat kehadiran tertinggi dengan 6,972 penonton berdasarkan data Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Angka itu membuktikan kekuatan jenama masih menjadi faktor utama menarik orang ke stadium.

JDT bukan sekadar pasukan dominan, tetapi simbol standard tertinggi bola sepak tempatan yang sentiasa mencipta tarikan kepada penyokong dan pemerhati.

Namun, situasi berbeza berlaku dalam beberapa lagi perlawanan lain. Kuala Lumpur City FC menentang Negeri Sembilan FC hanya menarik 1,012 penonton, manakala Melaka FC bertemu Kuching City FC sekadar 1,167.

Ia menunjukkan kemenangan atau kedudukan liga sahaja tidak lagi cukup menghidupkan aura stadium.

Penyokong bola sepak moden hadir kerana emosi, identiti dan pengalaman, bukan sekadar keputusan di atas padang.

Paling membimbangkan ialah kehadiran hanya 112 penonton bagi aksi PDRM FC menentang Penang FC.

Dalam konteks liga profesional, angka itu memberi isyarat terdapat perlawanan yang gagal mencetuskan rasa kepentingan kepada penyokong.

Stadium yang terlalu sunyi akhirnya menghilangkan elemen paling penting dalam bola sepak, iaitu atmosfera dan jiwa pertandingan.

Dalam masa sama, penyokong juga tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Kos perjalanan, harga tiket, perubahan jadual dan tahap keselesaan venue memainkan peranan besar.

Dalam era digital hari ini, ramai memilih menonton dari rumah kerana lebih mudah, murah dan selesa.

Sebab itu kehadiran 4,809 penonton bagi aksi DPMM FC menentang Sabah FC boleh dianggap petanda positif.

Ia membuktikan penyokong masih mahu hadir apabila wujud elemen persaingan, wilayah dan naratif perlawanan yang dekat.

Terengganu FC pula merekodkan 1,500 penonton ketika menentang Imigresen FC, sesuatu yang agak mengejutkan bagi negeri terkenal budaya bola sepak kuat.

Situasi itu menunjukkan sejarah dan nostalgia semata-mata tidak lagi cukup memastikan stadium sentiasa dipenuhi penyokong.

Apa yang berlaku dalam Liga-M sebenarnya lebih tepat dianggap krisis hubungan, bukannya krisis minat.

Penyokong masih mengambil tahu tentang bola sepak tempatan, namun keterikatan emosi itu semakin pudar apabila liga gagal memberikan pengalaman bermakna secara konsisten.

Liga-M masih memiliki kekuatan besar seperti semangat kenegerian, budaya ultras dan sejarah panjang bola sepak tempatan.

Namun aset itu perlu dihidupkan semula dengan pendekatan lebih segar dan realistik.

Jika hubungan emosi kelab dan penyokong dipulihkan, stadium akan kembali bernyawa dan bola sepak tempatan mampu mendapatkan semula denyut nadi sebenarnya.

* Zuraimee Zainal ialah Sub Editor Sinar Harian

View Original Article