Kenapa tunggu tular baru bertindak?

LocalEnvironment
6 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kenapa tunggu tular baru bertindak?

ADA pihak yang tidak senang apabila isu pencemaran di Pulau Redang didedahkan secara meluas menerusi laporan khas Mingguan Malaysia bertajuk ‘Neraka’ Sampah di Pulau Peranginan, yang menghiasi muka depan akhbar sebelum disusuli siri laporan susulan selama seminggu.

Pendedahan itu tidak terhenti di situ. Laporan terbaharu menunjukkan sebahagian besar daripada 344 pulau peranginan di seluruh negara sebenarnya berdepan ancaman pencemaran alam sekitar yang serius akibat ketiadaan sistem pengurusan sisa pepejal dan kumbahan yang bersepadu.

Apa yang pada mulanya dilihat sebagai masalah di Pulau Redang rupa-rupanya hanyalah sebahagian daripada isu yang lebih besar. 

Kini, keadaan sama turut dikesan di pulau peranginan lain, termasuk Pulau Perhentian dan Pulau Kapas di Terengganu, selain Pulau Mabul serta Pulau Selakan di Sabah. Jelas sekali, pencemaran di pulau-pulau peranginan bukan lagi kes terpencil, sebaliknya krisis yang semakin meluas dan tidak lagi boleh dipandang ringan.

Kebanyakan pulau tersebut kini bergantung kepada sistem setempat seperti tangki septik individu, kutipan berkala atau penghantaran sisa ke tanah besar, berbanding loji rawatan kumbahan dan pusat pengumpulan sisa berpusat. 

Keadaan ini menunjukkan isu pengurusan sampah di pulau-pulau peranginan sudah lama. Walaupun pelbagai tindakan mungkin  diambil, kebanyakannya masih bersifat sementara dan belum memberi penyelesaian jangka panjang. 

Namun apabila perkara ini dilaporkan secara konsisten, penulis yakin sudah pasti ia benar-benar memberi kesan besar kepada pihak-pihak berkaitan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilihat gagal menangani isu pengurusan sisa pepejal lebih awal.

Seperti isu pencemaran di Pulau Redang yang berlarutan lebih lima tahun, akhirnya jalan penyelesaian ditemui dalam tempoh hanya dua hari selepas perhatian serius diberikan. Operasi pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh sehingga kawasan yang sebelum ini dipenuhi timbunan sampah dibersihkan.

Dengan menggunakan dua bot berkapasiti 12 tan serta sebuah tongkang, timbunan sampah yang menjijikkan itu bersih dengan sekelip mata. 

Ini bermakna, jika kerja pembersihan mampu diselesaikan dalam tempoh hanya dua hari, malah perancangan membina rumah sampah tertutup juga boleh dilaksanakan, jadi mengapa masalah tersebut dibiarkan berlarutan sekian lama sehingga memerlukan pendedahan media sebelum tindakan segera diambil?

Mungkin ‘terkesan’ dengan perkataan ‘neraka’ yang menyakitkan mata dan memberi gambaran keadaan sangat teruk, malah dianggap kasar. Namun, tanpa penggunaan metafora tersebut pada tajuk, pendedahan berkenaan mungkin tidak akan mendapat perhatian sewajarnya daripada pembaca untuk menyelami isu sebenar yang cuba diketengahkan. 

Bagaimanapun, tindakan pantas dari pihak PBT wajar dipuji. 

Mengikuti trend gaya pembaca pada masa kini, netizen lebih berminat dengan gaya penulisan yang sensasi, maka tajuk sesebuah pendedahan itu sangat memainkan peranan. Jika tidak, ia hanya akan menjadi seperti laporan yang ‘syok sendiri’ dan tiada tindakan pantas daripada pihak-pihak tertentu. 

Tetapi, kesan daripada seminggu laporan ini disiarkan, terbukti Utusan Malaysia mampu melakar perubahan kecil buat penduduk di Kampung Baru Pulau Redang. Mereka akhirnya bakal menerima sebuah rumah sampah tertutup yang dijangka siap dibina pada penghujung tahun ini, seperti kemudahan yang terdapat di Laguna dan Long Beach.

 

Image from: Kenapa tunggu tular baru bertindak?

 

MAHU WUJUD KESEDARAN

 

Sejujurnya, pendedahan itu bukan ingin menyinggung hati mana-mana pihak, sebaliknya lebih kepada mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, yang mana kehidupan kita  saling bergantung kepada ekosistem marin yang turut perlu dipelihara. 

Dalam hal ini, perlu ditegaskan pengurusan sampah tidak seharusnya hanya bergantung kepada aduan awam atau menunggu sesuatu isu menjadi tular sebelum tindakan diambil. Tindakan proaktif dan perancangan berterusan perlu dilaksanakan lebih awal agar masalah dapat dicegah sebelum menjadi lebih serius.

Ia perlu menjadi rutin yang dilaksanakan secara konsisten dan berterusan kerana tanggungjawab menjaga kebersihan tidak boleh dipikul oleh pihak berkuasa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semata-mata. Mereka hanya mampu membantu, bukannya terus mengutip sampah yang dibuang oleh masyarakat sekeliling. 

Maka, aspek terpenting dalam menjaga kebersihan alam sekitar ini adalah kesedaran diri sendiri seperti titah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Titahnya, pendidikan sejak kecil perlu dijadikan benteng utama bagi membendung pencemaran laut yang semakin membimbangkan. 

Malah, usaha memulihara laut tidak memadai dengan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu bermula dengan membentuk sikap dan nilai menghargai alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Jika tidak, ia hanya akan menjejaskan imej pulau peranginan, apatah lagi tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah Tahun Melawat Malaysia.  

Jadi, apakah langkah konkrit yang perlu diambil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah pimpinan Datuk Seri Tiong King Sing bagi memastikan masalah pengurusan sampah seperti ini tidak berulang di pulau-pulau peranginan lain?

Hakikatnya, isu ini tidak terhenti kepada lambakan sampah semata-mata kerana pencemaran laut turut memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia.

Secara am, laut menghasilkan kira-kira 50 hingga 70 peratus oksigen di bumi, manakala terumbu karang berfungsi sebagai habitat hidupan marin, benteng semula jadi yang melindungi pantai daripada hakisan serta penyokong kepada industri perikanan dan pelancongan.

Apabila ekosistem ini rosak akibat pencemaran, kesannya bukan sahaja dirasai ikan dan hidupan laut, malah turut menjejaskan sumber makanan, ekonomi penduduk setempat serta kesejahteraan generasi akan datang.

Satu lagi aspek yang tidak boleh dipandang ringan ialah air kumbahan yang dibuang terus ke laut.

Masalah ini berpotensi menjejaskan kualiti air, mempercepatkan pertumbuhan alga, mengurangkan kandungan oksigen dalam laut dan akhirnya memberi tekanan kepada terumbu karang serta hidupan marin.

Isu ini memerlukan penelitian menyeluruh oleh pihak berkaitan bagi memastikan setiap premis mematuhi piawaian pengurusan kumbahan dan tidak mengambil jalan mudah demi menjimatkan kos operasi.

Perlu diingat, pendedahan media hanya pencetus kepada perubahan. Yang menentukan sama ada Pulau Redang terus menjadi syurga pelancongan atau bertukar menjadi ‘neraka’ sampah adalah sikap kita sendiri. 

Selagi tanggungjawab menjaga alam sekitar dianggap tugas orang lain, selagi itulah masalah yang sama akan terus berulang. –UTUSAN

 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

The post Kenapa tunggu tular baru bertindak? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved