
KUCHING: Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Datuk Voon Lee Shan menggesa pengundi di Sabah dan Sarawak supaya menolak parti-parti berpangkalan di Malaya serta mereka yang menyokong Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan mengatakan bahawa pilihan raya negeri akan datang adalah pilihan antara “penjajahan atau kemerdekaan.”Beliau berkata MA63 dipergunakan selama lebih 60 tahun sebagai alat untuk mengesahkan kawalan Malaya, sambil menyifatkannya sebagai “persetujuan yang direka” dan “penipuan” di bawah undang-undang antarabangsa.
“Penjajahan membolehkan Malaya merompak sumber dan hasil kita, meninggalkan Sabah dan Sarawak sebagai negeri termiskin sementara Malaya makmur,” katanya pada sidang media di pejabat PBK, di sini, Khamis.
Beliau memetik Resolusi 1514 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru supaya semua tanah jajahan dinyahjajahkan.
Beliau menuduh Malaya menggunakan dominasinya di Parlimen untuk menafikan status rakan setara Sabah dan Sarawak serta meluluskan undang-undang seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Laut Wilayah 2012, yang memusatkan kawalan terhadap minyak, gas dan kekayaan maritim.
“Sabah dan Sarawak perlukan oksigen untuk bernafas. Jika mereka mahu bernafas dengan baik, mereka mesti memilih kemerdekaan, bukan penjajahan,” tegasnya sambil menambah, PBK mempunyai strategi undang-undang secara aman untuk memperjuangkan kemerdekaan jika diberi mandat.
Voon mengesahkan bahawa PBK akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 dengan jumlah kerusi akan dimuktamadkan pada hari penamaan calon.
Katanya keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 di Kuching mengesahkan bahawa kerajaan negeri mempunyai hak untuk memperjuangkan kemerdekaan di bawah undang-undang antarabangsa dan domestik.
“Sokongan anda terhadap Parti Bumi Kenyalang amat penting untuk membebaskan Sarawak dan Sabah menjadi bebas dan merdeka,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi PBK Sabah Datin Soh Kee Kuat, dan bekas Adun Dilantik yang juga Timbalan Pengerusi PBK Datuk Ronnie Loh.
