
PETALING JAYA – Kenderaan yang dipercayai membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dilihat memasuki Istana Negara, kira-kira pukul 7.48 pagi ini.
Ketibaan itu disusuli pula dengan kenderaan dipercayai dinaiki Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, sejurus selepas itu melalui Pintu Istana 2.
Video ketibaan kedua-duanya yang merupakan antara anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, dipercayai bagi menghadiri mesyuarat berkenaan yang dilaporkan dijadual berlangsung pagi ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 September lalu ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Sementara itu pada semalam, Hannah Yeoh menafikan pernah menandatangani dokumen tular yang mendakwa Najib diperintahkan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Hannah menerusi hantaran di media sosial awal pagi tadi menegaskan dokumen berkenaan adalah palsu selain memaklumkan Lembaga Pengampunan masih belum bersidang berhubung perkara itu. – KOSMO! ONLINE
The post Kenderaan bawa Hannah Yeoh, Peguam Negara tiba di Istana Negara appeared first on Kosmo Online.





