Kenderaan Berpendaftaran Asing Yang Membeli RON95 Dikenakan Tindakan Bermula 1 April

LocalPolitics
26 Mar 2026 • 7:26 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kerajaan baharu sahaja mengurangkan kuota BUDI95 daripada 300 liter sebulan ke 200 liter sebulan bermula 1 April berikutan kemelut di Asia Barat. Pengurangan dilakukan bagi mengawal penggunaan bahan api memandangkan Malaysia ialah negara yang lebih banyak mengimport daripada mengeksport petroleum.

Terkini pemandu atau pemilik kenderaan berpendaftaran asing yang membeli petrol RON95 akan dikenakan tindakan undang-undang juga bermula 1 April. Sebagai peringatan, kenderaan asing sudah tidak dibenarkan membeli RON95sejak 17 June 2022 lagi.

image is not available

Sebelum ini, hanya pengusaha stesen minyak boleh dikenakan tindakan jika menjual RON95 kepada kenderaan asing. Kini, pemilik kenderaan asing turut dikenakan tindakan tetapi penalti yang akan dikenakan belum lagi diumumkan.

Tujuan penguatkuasaan dilakukan adalah bagi membendung ketirisan serta penyeludupan bahan api subsidi terutama di kawasan sempadan. Di pekan sempadan negeri-negeri utara misalnya, banyak kenderaan dengan nombor pendaftaran Thailand didapati membeli petrol disebabkan harga lebih rendah serta kurangnya bekalan di negara jiran.

KPDN berkata tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket atau pengusaha yang melanggar larangan ini. Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan penyeludupan bahan api subsidi.