
KUALA LUMPUR - Kuota bulanan subsidi BUDI95 akan dikurangkan kepada 200 liter buat sementara, berbanding 300 liter ketika ini.
Jurucakap Kementerian Kewamgan berkata, penyelarasan sementara itu akan bermula April 2026 nanti.
Menurut beliau, ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menguruskan peningkatan mos subsidi akibat kenaikan harga minyak global dan konflik berterusan di Asia Barat.
“Pelarasan ini merupakan langkah bersasar dan sementara, bertujuan melindungi bekalan bahan api negara tanpa menjejaskan majoriti pengguna, sambil mengekalkan harga bersubsidi untuk kumpulan yang layak.
“Seperti yang diumumkan hari ini oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan MADANI telah mengambil langkah awal dan bersasar untuk memastikan bekalan bahan api negara kekal terjamin demi kesejahteraan rakyat, susulan konflik di Asia Barat,” katanya.
Jelas beliau, langkah proaktif tersebut dilaksanakan secara terancang untuk menguruskan tekanan bekalan semasa tanpa menjejaskan majoriti pengguna, sambil memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi untuk tempoh yang lebih lama.
Tegas jurucakap itu, walaupun tahap bekalan kekal stabil buat masa ini, kerajaan tidak boleh menerima pakai pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dalam memperkukuh keselamatan bekalan dan mengurus permintaan secara berhemat.
“Konflik yang berpanjangan di Asia Barat telah memberi tekanan kepada pasaran tenaga global, dengan harga minyak mentah kini melebihi AS$100 setong, sekali gus meningkatkan beban subsidi Malaysia dengan mendadak.
“Dengan keputusan Kerajaan MADANI untuk mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat dan diesel pada RM2.15 seliter untuk kumpulan sasaran, beban subsidi terus meningkat,” katanya.
Tambah beliau, subsidi untuk petrol RON95 dan diesel untuk Januari lalu berjumlah sekitar RM700 juta.
“Berdasarkan harga pasaran dua minggu lalu, ketika minyak mentah Brent sekitar AS$90 setong, subsidi petrol dan diesel bulanan dianggarkan sebanyak RM3 bilion.
“Kini dengan harga minyak mentah mencecah AS$100 setong, beban subsidi dianggarkan meningkat kepada RM4 bilion sebulan,” katanya. - Getaran, 26 Mac 2026

