
ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan sebuah kenderaan persendirian yang tular di media sosial kerana menggunakan tulisan bomba dan lampu amaran khas bukan kenderaan rasmi jabatan itu.
JBPM Kedah dalam kenyataan memaklumkan kenderaan itu juga bukan milik mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.
“Untuk makluman, pihak jabatan mengesahkan bahawa kenderaan tersebut tidak tersenarai sebagai kenderaan rasmi JBPM mahupun mana-mana PBS di negeri Kedah.
“Pihak jabatan sedang mengambil tindakan lanjut berhubung perkara ini,” katanya.
JBPM negeri memandang serius sebarang penggunaan identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang awam serta menjejaskan imej dan kredibiliti perkhidmatan kebombaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan. Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan penyebaran maklumat berkaitan perkara ini tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“JBPM Negeri Kedah merakamkan penghargaan atas keprihatinan orang ramai dalam menyalurkan maklumat berkaitan isu ini. Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu memastikan maklumat yang disebarkan adalah tepat dan sahih,” katanya.
JBPM negeri sentiasa komited dalam memelihara integriti dan profesionalisme jabatan serta memastikan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kebombaan terus terpelihara.
Terdahulu tular di media sosial gambar dan video sebuah kenderaan bertulis bomba yang didakwa melakukan kesalahan jalan raya di Sungai Petani, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE
The post Kenderaan tular guna tulisan bomba bukan milik JBPM appeared first on Kosmo Online.






